Ahad, 28 Disember 2008

Antara Dua Penghinaan: Blog Yang Menghina Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam & UMNO Yang Menghina Hukum Allah Taala…. Apa Pandangan Masyarakat.?

Keimanan kita diuji oleh Allah Taala. Samada kita sayangkan agama Islam dengan sebenar-benarnya ataupun kasih sayang kita hanyalah palsu. Cuba kita renungkan dua situasi yang sedang berlaku di negara kita sekarang;

Situasi pertama:

Blog yang menghina Baginda Sollallahu’alaihiwasallam.

Situasi Kedua:

Pemimpin-pemimpin bumi Malaysia yang menghina hukum Allah Taala.

Tidakkah kedua-dua ini merupakan penghinaan yang membawa kepada tercabutnya keimanan dari diri seseorang? Saya tidak bercadang untuk menghukum sesiapa dalam ruangan ini. Sekadar meninggalkan persoalan ini untuk sesiapa sahaja yang membaca supaya berfikir dengan hati yang terbuka bersama-sama saya.



Ingat! Umat Islam punya harga diri. Mereka tidak boleh dipermainkan dengan terlalu mudah. Allah Taala dan Rasulnya Sollallahu’alaihiwasallam adalah dua elemen penting dalam jiwa Muslim yang benar-benar menyerahkan sepenuhnya keimanan kepada Pencipta.

“ Rakyat mengikut agama pemimpinnya”

Boleh jadi itu antara sebabnya.

“ Institusi ulama’ dipermainkan”

Boleh jadi itu juga antara sebabnya.

Nanti ada yang mengatakan; “ Ah! Sibuk menyalahkan pemimpin sahaja..mengapa tidak salahkan ulama’-ulama? Mengapa tidak salahkan ibu-bapa? Mengapa tidak salahkan diri sendiri?”. Tulisan kali ini bukanlah ingin meletakkan sesiapa dalam kandang pesalah. Tetapi, sekadar peringatan untuk diri, supaya tidak tertipu dengan ujian duniawi.

Saudaraku para muslimin, hilang keimanan bukan seperti hilang harta benda dunia. Di mana kita meletakkan harga keimanan kita kepada Allah dalam diri kita? Adakah bagi kita agama ini terlalu murah sehingga kita boleh mengawalnya mengikut hawa nafsu semata-mata?

Hakikat sebenar yang saya sendiri sedang fikirkan….

Mana tahu selepas ini ada idea untuk mengenengahkan sillibus pembelajaran mengenai peribadi agung Muhammad Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam di sekolah-sekolah umat Islam. Rasanya semuanya pernah terdengar kesungguhan untuk memasukkan pendidikan seks dalam sillibus pembelajaran di sekolah. Di mana logiknya sillibus seperti itu diperkenalkan? Adakah pendidikan agama Islam hari ini sudah diletakkan di belakang berbanding yang lain?

Hakikat sebenar yang saya sendiri sedang fikirkan….

Hari ini. Siapa yang menjadi contoh tauladan umat Islam? Bagnda Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam atau manusia-manusia yang tidak punya akhlak? Mana satu didahulukan; para pelakon, artis, penyanyi pujaan berbanding Insan Mulia Muhammad Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam?

Hakikat sebenar yang saya sendiri sedang fikirkan….

Mengapa apabila para pemimpin dengan mudah menghina hukum Islam kita mempertahankan pemimpin kesayangan tersebut? Adakah disebaliknya ada niat tersembunyi dan kepentingan yang lebih tinggi untuk dijaga berbanding untuk menjaga hukum Allah dari terus dinodai? Menghina hudud, menuduh hukum Islam tidak sesuai untuk masyarakat majmuk, menghina sunnah Nabi Sollallahu’alaihiwasallam; adakah semuanya bukan termasuk dalam bentuk penghinaan kepada Islam?

Hakikat sebenar yang saya sendiri sedang fikirkan….

Di mana sebenarnya masyarakat meletakkan kedudukan para ulama’ yang menjadi pewaris Para Nabi ‘Alaihimussolatuwasallam? Adakah mereka menganggap hamba Allah yang berpegang dengan kecantikan agama Islam ini telah atau akan menyebabkan mereka ketinggalan atau mundur ke belakang?

Hakikat sebenar yang saya sendiri sedang fikirkan….

Oleh kerana saya juga sedang berfikir mengenainya, saya masukkan entri saya kali ini dengan tajuk yang mungkin boleh untuk kita sama-sama kita fikirkan….

“Antara Dua Penghinaan: Blog Yang Menghina Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam & UMNO Yang Menghina Hukum Allah Taala….Apa Pandangan Masyarakat Malaysia???”

SAHUT SERUAN INI:

“ JOM BERSAMA KEPIMPINAN ULAMA’ ”

Tiada ulasan: