Rabu, 24 Disember 2008

Kita Mulia Kerana Islam

Beberapa hari lalu, heboh berita menceritakan mengenai peristiwa Bush dibaling dengan kasut oleh seorang wartawan. Tidak ketinggalan para blogger mengulas dengan pandangan masing-masing. Saat ini digunakan sebaiknya untuk menghentam Bush yang terkenal dengan penindasannya terhadap umat Islam. Umat Islam seluruh dunia tersenyum puas melihat adegan yang menyebabkan hilangnya maruah seorang manusia yang pernah berlagak seolah-olah dialah yang paling berkuasa di dunia. Siapa yang menyangka keadaan ini boleh berlaku melainkan manusia yang benar utuh imannya kepada Allah.


Umat Islam sentiasa diingatkan bahawa kemuliaan itu adalah milik Allah. Allah Taala berhak memuliakan sesiapa sahaja yang dikehendaki dalam kalangan hambaNya begitulah sebaliknya. Peristiwa yang berlaku sepatutnya menjadi pengajaran berharga bukan sekadar buat Bush yang hina dan dihinakan itu, bahkan kepada umat Islam yang beransur-ansur meninggalkan Islam kononnya untuk mengejar kemajuan dengan menjadikan Barat sebagai kiblat mereka. Nah!!! Saksikan sendiri Allah Taala membuktikan bahawa tidak ada apa-apa kemuliaan kepada sesiapa yang meninggalkan Islam sebagai panduan hidup.

Firman Allah Taala;

“ Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang memiliki kerajaan, Dia memberikan kerajaan dunia kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan dia mencabut kekuasaan itu dari siapa yang Dia kehendaki. Dia memuliakan sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia menghinakan sesiapa yang Dia kehendaki. Di tangan Engkau sahajalah kebaikan. Sesungguhnya Engkau berkuasa atas tiap-tiapa sesuatu”

Sedarilah wahai sekalian saudara-saudaraku seluruh umat Islam, cukuplah peristiwa ini mengejutkan kita semua dari lena dan buaian mimpi-mimpi indah yang penuh dengan kepalsuan. Tinggalkan golongan-golongan yang cuba meminggirkan Islam dari menjadi agama yang berdaulat di bumi Allah ini. Manusia yang munafiq menyangka bahawa Islam penyebab kemunduran, punca kegagalan, faktor kemerosotan. Celaka kamu!! Mana mungkin Islam sebegitu rupa. Islamlah hanya satu-satunya yang mampu menyelamatkan kamu dari kehinaan.

Firman Allah Taala;

“ Berilah berita kepada golongan-golongan munafiq bahawa mereka akan mendapat siksa yang pedih. (Iaitu) orang-orang yang menjadikan orang-orang yang kufur sebagai penolong-penolong mereka selain dari orang yang beriman. Adakah mereka menyangka di sisi orang-orang yang kufur itu kemuliaan? Maka, (ketahuilah), sesungguhnya kemuliaan itu hanyalah semata-mata milik Allah Taala.”

Kita pernah mendengar hinaan ke atas Islam dari manusia yang mengakui dengan lidah mereka bahawa mereka beragama Islam. “ Hukum Islam tidak sesuai dalam masyarakat majmuk”. “ Kalau beramal dengan Islam kita akan mundur”. “ Nabi tidak cukur janggut kerana di zamannya tidak ada gilette”. “ Kalau hukum potong tangan berjalan, kita boleh makan sup tangan”. “ Kalau hukum rejam diadakan, habis batu-batu di jalanraya digunakan”. Begitulah antara contoh-contoh ucapan yang menghina agama Allah Taala dari mulut-mulut munafiq yang menjadi jurucakap kepada Barat.

Seruan untuk masyarakat Malaysia ;

Bezakan antara golongan yang benar-benar ingin mempertahankan Islam dengan golongan yang memperlekehkan Islam. Bukalah mata anda seluas-luasnya. Jujurlah ketika membuat penilaian. Marilah bersama-sama berganding bahu membantu kepimpinan ulama’ dalam mendaulatkan agama Allah Taala. Jauhi manusia yang cuba memburukkan golongan ulama’ yang dimuliakan oleh Allah Taala, nanti kita pula yang akan dihina olehNya.

Yakinlah, kemuliaan itu milik Allah.

Sedarlah, Islam bukan mulia kerana kita, tetapi kita mulia kerana kita memilih Islam sebagai jalan hidup.

Kalam Saidina Umar al-Khattab Radiaalhu’anhu;

“ Kita merupakan kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Barangsiapa yang cuba mencari kemulian, selain dari apa yang Allah Taala muliakan kepada kita (Islam) nescaya mereka akan mendapat kehinaan dari Allah Taala”

Jangan Ragui Kepimpinan Ulama

Tiada ulasan: