Rabu, 17 Disember 2008

ZIKRULLAH: UBAT TERBAIK UNTUK KETENANGAN JIWA

SERUAN MEMPERBANYAKKAN MENGINGATI ALLAH DALAM IBADAH HAJI

Allah Taala menjadikan setiap ibadah yang difardhukanNya adalah tempat untuk memperbanyakkan ingatan kepadaNya. Ibadah haji yang merupakan rukun Islam yang kelima turut menekankan di dalamnya ingatan yang berterusan kepada Allah. Allah mengajar satu persatu mengenai ibadah haji kepada seluruh umat Islam yang berkemampuan menuju Baitullah supaya mereka memperolehi haji yang mabrur. Allah Taala sentiasa inginkan kepada hambaNya kemudahan, bukannya kepayahan dari setiap ibadah yang difardhukan. Begitulah juga dengan ibadah haji.




Firman Allah Taala;

“ (Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh berkata keji, berbuat fasiq dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan Apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Carilah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa”

Cuba kita renungkan setiap turutan Firman Allah di bawah, bagaimana Allah Taala sentiasa mengingatkan kepada seluruh tetamu Baitullah al-Haram supaya berzikir mengingatinya. Dalam turutan ayat-ayat di bawah, Allah Taala mengulang-ngulang perintah supaya berzikir kepadaNya dalam lima perintah ketika dia menceritakan mengenai rukun Islam yang kelima ini.

Allah Taala berfirman;

Pertama:

“ Tidak ada dosa bagi kamu untuk mencari kurnia (rezeki hasil perniagaan) dari Tuhanmu. Maka apabila kamu telah bertolak dari Arafat, berzikirlah (dengan menyebut nama Allah) kepada Allah di Masy’arilharam…”

Kedua:

“…dan berzikirlah (dengan menyebut nama Allah) sebagaimana yang ditunjukkanNyakepadamu. Dan sesungguhnya kamu itu benar-benar termasuk dalam golongan orang-orang yang sesat”

Ketiga:

“ Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu maka berzikirlah (dengan menyebut nama Allah), sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membanggakan ) nenek moyangmu…”

Keempat:

“ …..atau [kamu berzikirlah (dengan menyebut nama Allah)] dengan sebanyak-banyak zikir…”

Kelima:

“ Dan berzikirlah (dengan menyebut nama Allah) pada hari-hari yang berbilang (hari tasyriq)…”

Allah Taala mengulang-ngulang perintah mengingatiNya supaya manusia meneruskan ingatan kepadaNya apabila pulang dari menunaikan ibadah haji. Bahkan, ianya merupakan antara tanda-tanda ibadah seseorang itu diterima Allah. Ingatan kepada Allah bukanlah sekadar terhenti ketika seseorang itu menunaikan ibadah. Ingatan mestilah berterusan walaupun setelah selesai menunaikannya. Sesungguhnya perintah supaya mengingatiNya adalah hadiah berharga dari Allah kepada hambaNya. Tidak ada satu faedah pun yang akan kembali kepada Allah apabila seseorang hamba mengingatiNya. Tidakkah Allah Taala menegaskan melalui firmanNya;

“ Ketahuilah dengan berzikir (mengingati) Allah hati akan menjadi tenang”

Tiada ulasan: