Isnin, 15 Disember 2008

INTIPATI DARI IBADAH HAJI

SERUAN MENGINGATI HARI KIAMAT

Ibadah haji yang difardhukan oleh Allah Subhanahu Wa Taala mengandungi banyak rahsia dan kelebihan. Begitulah hakikat setiap perbuatan yang diperintahkan oleh Allah kepada hambaNya pasti untuk kebaikan hambaNya bukan untuk keuntungan Zat DiriNya Yang Maha Agung. Al-Quran adalah pedoman terbaik yang membuka jalan kepada manusia menuju kebenaran di samping memberi tunjuk ajar kepada mereka cara menuju kejayaan dunia dan akhirat.

Sekiranya kita meneliti firman Allah Taala dalam Juzuk yang ke-2 dari Surah al-Baqarah yang menceritakan mengenai ibadah haji, Allah Taala memerintahkan hambaNya supaya mengingati Hari Kiamat yang maha dahsyat ketika mereka melakukan haji ataupun menyambut Hari Raya Aidiladha di tempat masing-masing.




“ Dan ingatlah Allah pada hari-hari yang boleh dibilang (Hari Tasyriq). Barangsiapa yang ingin berangkat cepat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. Dan barangsiapa yang ingin menanggguhkannya, maka juga tidak ada dosa baginya bagi orang yang bertakwa.. Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kepadaNya kamu semua akan dikumpulkan (di Hari Kiamat)”

Mengapa Allah Taala mengingatkan kepada kita bahawa kita semua akan dihimpunkan oleh Allah di Hari Kiamat ketika Dia menceritakan mengenai zikir (mengingatiNya) pada Hari Tasyriq? Allah Taala menginginkan kepada semua yang menunaikan haji, yang menziarahi Baitullah yang mulia supaya mereka mengingati hari ketika manusia berkumpul di Padang Mahsyar. Dalam keadaan jumlah mereka berhimpun untuk menunaikan haji mencecah jutaan manusia, mereka dapat melihat dan merasai sendiri kalutnya suasana yang berlaku apabila manusia berkumpul beramai-ramai di satu tempat. Sesungguhnya, jumlah manusia pada Hari Kebangkitan sudah pasti berlipat kali ganda dari itu.

“ Hari ketika manusia dibangkitkan untuk berhadapan dengan Tuhan Sekalian Alam”

“ (Iaitu) pada hari mereka keluar dari kubur dengan cepat seakan-akan mereka pergi dengan segera kepada berhala-berhala (sewaktu di dunia). Dalam keadaan mereka menundukkan pandangan serta diliputi dengan kehinaan. Itulah hari yang pernah diancamkan kepada mereka (ketika berada di dunia)”

Allah Taala juga menginginkan kepada hambaNya yang tidak pergi menunaikan haji, ketika mana mereka keluar untuk menunaikan solat pada Hari Raya Aidiladha, ketika mereka melihat manusia dari setiap tempat berkumpul, samada mereka mengenalinya ataupun tidak, tua mahupun muda; sehinggakan jalan menjadi sibuk, masjid-masjid dipenuhi manusia: Allah Taala menginginkan daripadanya supaya mereka mengingati hari mereka akan dihimpunkan di Padang Mahsyar. Begitulah antara rahsia kefardhuan yang ditetapkan oleh Allah kepada hambaNya. Sesungguhnya kefardhuan ibadah haji dan pensyariatan Hari Raya dalam Islam merupakan antara anugerah-anugerah Allah yang tidak mampu dinilai harganya.

Segala puji bagi Allah kerana menyempurnakan untuk hambaNya nikmat-nikmat yang pelbagai dan dengan nikmatNya itu memimpin manusia ke arah kebaikan,

Tiada ulasan: