Daripada Abu Hurairah Radiaallahu’anhu, dari Nabi Sollallahu’alaihiwasallam;
“ Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggui oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya; Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya; Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu perolehi darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya”
(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Birr ,
Bab pada menyatakan kelebihan cinta kerana Allah)
Kesimpulan cerita
Nabi Sollallahu’alaihiwasallam menceritakan kisah seorang lelaki yang keluar dari rumahnya menuju ke perkampungan lain yang tidak dinyatakan jarak antara dua kampung tersebut. Akan tetapi daripada gaya bahasa hadis, lelaki itu berjalan kaki dalam satu masa yang panjang dalam perjalanannya antara dua kampung tersebut. Dia telah keluar dengan niat yang satu iaitu ziarah. Bukanlah kerana menziarahi adik beradik ataupun sanak saudara, bahkan menziarahi saudaranya semata-mata kerana Allah Taala. Maka Allah Taala mengutuskan malaikat – dalam rupa lelaki- dalam perjalanannya untuk mengintip dan menunggunya. Apabila dia melalui tempat malaikat menunggunya, malaikat itu pun bertanya arah tujuannya. Lelaki itu menyatakan tujuannya ke kampung itu untuk menziarahi saudaranya kerana Allah. Malaikat menimbulkan persoalan kepadanya adakah ziarahnya untuk tujuan dunia seperti perniagaan ataupun kerana mempunyai hubungan kerabat dengan saudaranya tersebut. Lelaki itu menafikannya, bahkan menegaskan bahawa ziarahnya adalah semata-mata kerana Allah tanpa ada sedikitpun tujuan duniawi.
Selepas perbualan ini, malaikat memberitahu hakikat sebenar dirinya sebagai utusan Allah yang berupa seorang lelaki. Lalu malaikat memberi satu khabar gembira kepadanya bahawa Allah Taala mencintainya kerana dia mencintai saudaranya kerana Allah Taala semata-mata..
* Ulama’ berkata; Mahabbah Allah Taala kepada hambanya ialah rahmatNya kepadanya, redha dariNya, Allah Taala menghendaki untuk hambanya kebaikan.
**Asal mahabbah dalam perbuatan manusia adalah cenderung hati, akan tetapi Allah Taala suci dari perkara tersebut.
Pengajaran
Cerita ini memberi satu gambaran makna yang sangat tinggi yang perlu dimiliki oleh umat pada setiap zaman dan masa.. Ukhuwwah kerana Allah Taala adalah setinggi-tinggi dan semulia-mulia hubungan yang dibina. Ukhuwwah merupakan ruh keimanan yang hidup dan perasaan dalaman yang lahir dalam lubuk hati orang yang beriman terhadap saudaranya. Seolah-olah mereka ini merupakan ruh yang satu yang hidup dalam jasad yang berbilang. Menyuburkan ukhuwwah merupakan kaedah terbaik sebagai permulaan bagi seluruh umat Islam untuk tolong-menolong ke arah kebaikan. Bahkan ukhuwwah yang dibina seumpama ini menjadikan diri para muslimin untuk berpegang teguh dengan agama Allah dan berusaha untuk menjadi rijal-rijal yang akan mendaulatkan agama Allah sehingga Allah menjadikan kalimah kufur itu berada di bawah di tempat yang sangat hina. Maka, terbinalah satu keyakinan bahawa Kalimah Allah itu sentiasa berada di tempat yang tertinggi di bawah jaminanNya.
Wallahua’alam.
“ Dan masyarakat Islam sangat berhajat kepada ukhuwwah para mu’min, dan rijal-rijal yang saling menyayangi, dan pemuda-pemuda yang ikhlas berjuang. Mereka memikul pada diri mereka makna yang tinggi terhadap perasaan sayang, keikhlasan dan menunaikan janji dengan harapan daulah Islam yang hilang akan dikembalikan, kemuliaan para muslimin akan dikembalikan; dan yang demikian itu bagi Allah adalah Maha Berkuasa dan Maha Perkasa”
(Abdullah Nasih ‘Ulwan: Ukhuwwah Islamiah)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan