Pesanan Supaya Bertaqwa Dalam Ibadah Haji
Tulisan kali ini sekadar mendatangkan tiga ayat dari Firman Allah Taala mengenai perintah supaya bertaqwa kepada Allah ketika mana Allah Taala menerangkan mengenai ibadah haji. Allah Taala menjadikan ibadah haji antara ibadah-ibadah yang menghasilkan benih taqwa dalam peribadi mu’min. Di kesempatan ini, cuba kita perhatikan susunan-susunan ayat di bawah mengenai perintah taqwa kepada Allah dalam ibadah tersebut. Semoga kita memperolehi manfaat dan pengajaran darinya.
Ayat pertama;
” Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah. Jika kamu terkepung, maka sembelihlah korban yang mudah didapati. Jangan kamu mencukur kepalamu sebelum korban sampai di tempat penyembelihannya. Jika ada di antara kamu yang sakit atau ada gangguan di kepalanya (lalu ia bercukur) maka wajiblah atasnya berfidyah iaitu berpuasa atau bersedekah atau berkorban. Apabila kamu telah merasa aman, maka bagi siapa yang mengerjakan umrah sebelum haji dalam bulan haji wajiblah ia menyembelih korban yang mudah didapati. Jika ia tidak dapat menemukannya maka wajib berpuasa tiga hari dalam masa haji dan tujuh hari apabila telah pulang dari haji. Itulah sepuluh hari yang sempurna. Demikian itu bagi orang-orang yang keluarganya tidak berada sekitar Masjidil Haram (orang-orang yang bukan penduduk Kota Mekah). Dan bertakwalah kepada Allah. Dan Ketahuilah seugguhnya Allah Taala itu Maha Pedih siksaanNya”
Ayat Kedua;
“ (Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh berkata keji, berbuat fasiq dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan Apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Carilah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa, dan bertaqwalah wahai golongan golongan yang berakal ”
Ayat Ketiga;
“ Dan ingatlah Allah pada hari-hari yang boleh dibilang (Hari Tasyriq). Barangsiapa yang ingin berangkat cepat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tiada dosa baginya. Dan barangsiapa yang ingin menanggguhkannya, maka juga tidak ada dosa baginya bagi orang yang bertakwa.. Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kepadaNya kamu semua akan dikumpulkan (di Hari Kiamat)”
Maka difahami dari sini bahawa Allah Taala menjadikan setiap ibadah itu sebagai jalan pintas kepada hambaNya menuju keredhaan dariNya. Benarlah apa yang disebut oleh Baginda Nabi Sollallahu’alaihiwasallam bahawa agama Islam datang untuk menyenangkan bukan untuk memayahkan. Sebagaimana kita sedia maklum bahawa hamba yang paling mulia di sisi Allah ialah hambaNya yang paling bertaqwa. Kita berdoa supaya Allah Taala menghiaskan peribadi kita semua dengan hiasan taqwa. Tidak lupa untuk kita sama-sama berdoa semoga semua jemaah haji pulang dari ibadah mereka dalam keadaan ibadah mereka diterima dan memperolehi intipati penting dari ibadah itu sendiri iaitu taqwa kepada Allah. Amin Ya Rabbal ‘Aalamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan