Oleh : Syukri Nazar
Kisah Si Pembunuh dengan Rahib dan Orang ‘Alim
“ Daripada Abu Sa’id al-Khudri; sesungguhnya Nabi Sollallahu’alaihiwasallam pernah bersabda: Adalah pada zaman sebelum kamu terdapat seorang lelaki yang telah membunuh 99 nyawa. Maka dia bertanya orang yang paling alim dalam kalangan ahli bumi (pada waktu itu), lalu dia menunjukkan kepada Rahib. Maka dia mendatangi Rahib itu dan bertanya: Sesungguhnya dia telah membunuh 99 nyawa, adakah taubatnya akan diterima? Rahib menjawab: Tidak. Lalu, dia membunuh Rahib itu, maka genaplah yang dibunuhnya 100 nyawa. Kemudian dia bertanya (kali kedua) orang yang paling alim dalam kalangan ahli bumi, lalu dia menunjukkan kepada seorang lelaki yang alim. Maka dia bertanya: Sesungguhnya dia telah membunuh 100 nyawa, adakah taubatnya akan diterima? Orang alim itu menjawab : Ya, siapakah yang menghalang antaranya dengan taubah? Pergilah kamu ke bumi begini begini, kerana di dalamnya ada manusia yang mengabdikan diri kepada Allah. Maka, abdikan diri kepada Allah bersama mereka dan jangan kamu kembali ke bumi mu kerana sesungguhnya bumi itu merupakan bumi yang jahat. Maka, dia bertolak. Sehingga apabila sampai dipertengahan perjalanan, dia dijemput oleh kematian. Maka berbalahlah antara malaikat rahmat dan malaikat azab; Berkata malaikat rahmat: Dia datang dalam keadaan bertaubat dan hatinya dihadapkan kepada Allah. Berkata malaikat azab; Sesungguhnya dia tidak pernah melakukan kebaikan sedikitpun. Datanglah satu malaikat lain dengan rupa manusia dan dia berhakim antara keduanya. Lalu malaikat(yang menjadi hakim) itu berkata: Ukurlah antara dua bumi ini, ke arah mana dia paling dekat maka dia adalah miliknya. Lalu diukur. Maka, didapati orang yang bertaubat itu lebih dekat ke arah bumi tempat tujuannya untuk bertaubat, lalu dia diambil oleh Malaikat Rahmat”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kesimpulan Cerita;
Cerita ini bukanlah sekadar khayalan dari Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam bahkan ianya merupakan satu kisah yang benar-benar berlaku kepada seorang lelaki dari umat-umat terdahulu yang tidak sampai kepada kita satu riwayat pun tentang nama dan zaman dia berada padanya. Lelaki ini telah biasa membunuh dan bergelumang dengan darah sehingga dia telah membunuh 99 nyawa. Maka, Allah Taala menghendaki untuknya hidayah. Lalu, Allah menolongnya dengan melapangkan dadanya untuk bertaubat dengan taubat nasuha yang membersihkannya dari dosa besar ini dan daripada penyesalannya yang tinggi atas perbuatannya di samping kebenciannya yang tinggi terhadap pembunuhan itu. Keadaan ini telah mengundang dirinya bertanya untuk meminta fatwa mengenai keadaan taubatnya selepas dia telah membunuh sebelumnya ramai orang.
Semoga kita sama-sama mampu merasai kebenaran taubatnya dan kesungguhnanya untuk bertaubat daripada dosa ini. Kesungguhan ini dapat kita perhatikan apabila dia tidak bertanya dengan orang biasa atau dari sembarangan orang alim yang boleh jadi memberi faedah dan boleh jadi tidak. Bahkan dia bertanya tentang itu dari orang yang paling alim ketika itu sehingga apabila dia berfatwa tidak perlu lagi fatwa selepasnya. Dengan kehendak Allah, dia menunjuk kepada seorang rahib yang menghabiskan hidupnya hanya dengan beribadah kepada Allah tanpa ilmu. Oleh sebab kejahilannya, dia berfatwa mengenai kelembutan agama ini tanpa bersandar pada dalil dan tidak bergantung pada hujah. Dia menfatwakan bahawa sudah tidak ada taubat untuk si pembunuh itu. Lalu tergerak perasaan dan naluri si pembunuh yang bertanya tadi untuk membunuh rahib itu dan genaplah 1oo nyawa dibunuh olehnya.
Tentang ucapan pendita itu, berkata Imam Qurthubi Rahimahullah; (( Apa yang diucapkan oleh Rahib itu bahawa sesungguhnya tidak ada taubat untuknya dalil tentang sedikitnya ilmu pendita itu dan ketidakbijaksanaannya sebagaimana kesilapannya dalam mengeluarkan fatwa. Dia juga tidak menggunakan uslub yang sesuai untuk menjaga dirinya ketika berdepan dengan orang yang telah sangat terbiasa dengan membunuh……………………..))
Dalam keadaan dia sendiri sudah benci dengan pembunuhan, fatwa yangdikeluarkan menyebabkan jiwanya beergelora untuk membunuh Rahib yang mengeluarkan fatwa sedemikian dan jadilah Rahib itu sebagai mangsanya yang ke 100. Walaupun begitu, jiwanya tetap bersungguh-sungguhn untuk bertaubat dan menyucikan dirinya dari dosa ini. Maka, dia mengulangi kembali soalannya dari orang yang paling alim itu, lalu untuk kali kedua ini dia ditunjukkan kepada salah seorang lelaki yang alim lagi mulia di zaman itu.
Berkata Imam Qurthubi Rahimahullah; (( Dan Allah Taala meredakan keadaannya, berbaki pada dirinya keinginan yang tinggi untuk bertanya keadaan dirinya. Disebabkan dia sentiasa mencari (siapa yang mampu memberi jawapan yang melegakaan hatinya), Allah Taala telah membawanya kepada lelaki yang alim lagi mulia, Apabila dia bertanya dia menjawab dengan tepat dan betul. Maka si alim itu bertanya kepadanya apa yang menghalang antara kamu dengannya (dengan taubat). Dia mengeluarkan fatwa dan menafikan bahawa taubatnya akan ditolak. Kemudian dia memberitahu apa yang bermanfaat untuk si pembunuh itu untuk merealisasikan keinginannya untuk bertaubat iaitu meninggalkan negerinya yang menyebabkan dia tunduk dengan kebiasaan penduduk itu dengan kerosakan, dan kerana kaumnya yang menyebabkan dia berkelakuan sedemikian dan membawanya kepada perbuatan yang buruk ))
Kesungguhan lelaki tersebut untuk bertaubat terserlah apabila dia mengikut apa yang diberitahu oleh orang alim itu supaya meninggalkan negerinya dengan gembira dan lapang dada. Takdir Allah, dia bertemu ajal di pertengahan jalan sebelum sampai ke tempat yang ditunjukkan oleh orang alim kepadanya. Berlakulah perebutan antara Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab sehingga Allah Taala menghantar satu malaikat yang berupa manusia untuk menjadi hakim kepada mereka.
Hasilnya, Allah Taala menghendaki bahawa Malaikat Rahmat lebih layak untuk mendapatkan lelaki tersebut. Walaupun lelaki itu tidak pernah berbuat kebaikan bahkan telah membunuh ramai nyawa, tetapi kesungguhan dan keikhlasannya yang betul-betul dihadapkan kepada Allah di penghujung usianya diterima oleh Allah Taala.
Wallahua’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan