MENUJU KEJAYAAN DUNIA DAN AKHIRAT
Sempena kita masih berada dalam bulan Zulhijjah yang mulia ini, marilah sama-sama kita mengkaji Firman Allah Taala dalam ayat yang menceritakan mengenai manasik haji. Ketika Allah menceritakan mengenai ibadah tersebut, Allah Taala menerangkan kepada kita bahawa manusia ini terbahagi kepada beberapa jenis. Allah Taala berfirman;
" Apabila kamu telah selesai melakukan ibadah haji, maka ingatlah Allah Taala sepertimana kamu sentiasa menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu bahkan ingatlah Allah dengan sebanyak-banyaknya...
Selepasnya, Allah Taala membahagikan manusia kepada dua jenis;
Pertama melalui FirmanNya;
" Maka, dalam kalangan manusia ada yang berkata: Wahai Tuhan kami, kurniakan kepada kami kebaikan di dunia ini; maka tiadalah baginya (kebaikan) pada Hari Akhirat…...
Dan golongan kedua melalui KalamNya;
" dan dalam kalangan manusia ada yang berkata: Wahai Tuhan kami, kurniakan kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan jauhilah kami dari api neraka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitunganNya"
Selepas itu, Allah Taala menutup perbincangan mengenai ibadah haji dengan memulakan ayat dengan perintah supaya mengingatiNya pada Hari Tasyriq. Kemudian, Allah Taala membahagikan manusia kepada dua peringkat (peringkat manusia yang melakukan kerosakan di muka bumi dan peringkat manusia yang sanggup berkorban untuk mencari keredhaan Allah) sebelum mendatangkan FirmanNya yang perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh seluruh hambaNya yang beriman. Firman Allah Taala;
" Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang amat nyata. Tetapi jika kamu menyimpang dari jalan Allah sesudah datng kepadamu bukti yang nyata, maka ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana"
Marilah kita tidak lupa untuk sentiasa berdoa kepada Allah supaya setiap ilmu yang kita pelajari diberi taufiq oleh Allah Taala untuk diamalkan dalam usaha menyahut seruan Allah Taala dalam ayat di atas. Begitulah sikap kita sebagai hamba yang dhaif, setiap pekerjaan yang kita lakukan memerlukan pergantungan sepenuhnya kepada Allah Taala. Sekali lagi kita memanjatkan doa kepada Allah supaya mengurniakan kepada kita semua kejayaan; kejayaan dunia dan kejayaan akhirat. Semoga kejayaan yang dikurniakan di dunia ini membuka lorong kepada kita menuju kejayaan Hari Akhirat. Kita semua berlindung dari Allah dengan kejayaan dunia yang menjadi hijab untuk kita mencapai kejayaan Hari Akhirat. Semoga segala ilmu yang dipelajari menjadi cahaya penyuluh kepada seluruh perjalanan kehidupan dunia yang menjadi medan ujian dari Ilahi. Keredhaan dariMu adalah satu kejayaan yang sangat bernilai bagi kami, Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan