Khamis, 25 Disember 2008

Istiqamah Dalam Perjuangan

Nota: Entry ini ditulis sempena kemasukan Datu’ Abu Zahar Hashim, bekas Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan ke dalam Parti Islam Semalaysia (PAS)

Hati itu berada pada dua celah jari ar-Rahman, Dia membolak-balikkannya mengikut yang Dia kehendaki”

Siapa dalam kalangan kita yang mampu menyangka orang yang paling lantang berpidato mempertahankan perjuangan Islam akan meninggalkan Islam? -Na’uzubillah- . Siapa mampu mengagak orang yang paling kuat menentang perjuangan Islam akan bersama Islam suatu hari nanti? Semuanya telah berlaku.. Orang yang berjawatan tinggi dalam saf kepimpinan jemaah Islam di bumi Malaysia pernah meninggalkan saf perjuangan itu. Musuh pula yang selama ini menentang akhirnya bertukar menjadi insan yang paling mencintai perjuangan mulia ini.

Allah Taala mengajar kita dengannya supaya kita menyedari bahawa nikmat berada dalam agama Islam dan berada dalam saf jemaah islam ini adalah kurniaan serta anugerah dariNya semata-mata. Sekiranya Allah menghendaki, Dia boleh menariknya daripada kita.Tidakkah sebelum ini kita pernah membincangkan bahawa - Islam bukan mulia kerana kita, tetapi kita mulia kerana kita memilih Islam sebagai jalan hidup-?




“ Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya sekiranya kamu bersyukur, nescaya akan Aku tambahkan kepada Kamu (nikmat itu).Sekiranya kamu ingkar sesungguhnya azabKu amat pedih”

(Ibrahim: 7)

Lihatlah kisah para Anbiya’ terdahulu yang memahami hakikat ini, hati mereka sentiasa mengingati bahawa segala kelebihan yang ada pada mereka adalah semata-mata anugerah darinya. Sudah pasti dengan mukjizat yang ada para Anbiya’ ‘Alaihimussolatuwassalam melebihkan mereka dari manusia yang lain. Apatah lagi mereka semua adalah pilihan Allah Taala. Oleh kerana itulah, para Anbiya’ sentiasa melazimi dalam diri mereka perasaan syukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah ke atas mereka.

Cuba kita lihat kisah Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam. Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam antara nabi-nabi yang dikurniakan banyak kelebihan kepadanya. Seluruh makhluk tunduk dengan arahannya. Namun, tidak ada kesombongan dalam dirinya melainkan semakin tawadhu’ dirinya dengan kekuasaan Allah Taala yang Maha Agung. Teliti dengan sebaiknya kisah dari al-Quran mengenai perihal Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam ini;

“ Berkata Sulaiman: hai pembesar-pembesar, siapakan di antara kamu sekalian yang sanggup membawa singgahsananya (singgahsana Balqis) kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri.. Berkata Ifrit (yang cerdik) dari golongan Jin: Aku akan datangkannya kepadamu dengan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi boleh dipercayai….Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari kitab: ‘ Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip. Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak dihadapannya, iapun berkata: “Ini adalah kelebihan kurniaan Tuhanku, untuk menguji samada aku bersyukur ataupun aku kufur”. Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya kesyukuran itu untuk (kebaikan) dirinya. Dan barangsiapa yang kufur maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya Lagi Maha Mulia”

(An-Naml: 38-40)

Lihatlah ucapan Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam itu – Ini adalah kelebihan kurniaan Tuhanku untuk mengujiku samada aku bersyukur ataupun aku kufur -. Cukuplah ianya menjadi pengajaran berharga untuk kita sentiasa tawadhu’ kepada kekuasaan Allah Taala.

Kita mengambil pengajaran dari peristiwa yang berlaku di sekeliling kita bagaimana Allah Taala membolak-balikkan hati hambaNya semata-mata kerana sikap yang ada pada hamba itu sendiri. Kita berdoa kepada Allah supaya lebih ramai dari kalangan musuh Islam akan meninggalkan perjuangan jahat mereka untuk sama-sama berada dalam saf perjuangan Islam ini.

Tidak lupa untuk kita sentiasa memperbanyakkan doa kepada Allah supaya sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan agama Allah ini. Samada Allah Taala mengurniakan kemenangan kepada perjuangan ini dalam keadaan kita mampu menyaksikan kejayaan ini ataupun kita syahid kerana mempertahankannanya.

“ Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan hati ini agamamu dan ketaatan kepadamu. Maha Suci Engkau sesungguhnya kami ini termasuk orang yang zalim”

“ Wahai Tuhan Kami, janganlah engkau balikkan hati kami setelah Engkau berikan hidayat kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Kurnia”

Sesungguhnya, bukan kita yang menyumbang jasa kepada Islam, tetapi Islamlah yang telah banyak berjasa kepada kita.

“ Mereka menyangka telah member ni’mat kepadamu dengan keislaman mereka. Katakanlah kepada mereka: “Janganlah kamu merasa telah member ni’mat kepadaku dengan keislamanmu. Sebenarnya Allah Tala Dialah yang melimpahkan ni’mat kepadamu dengan menunjuki kamu kepada keimanan, jika sekiranya kamu adalah orang-orang yang benar”

( al-Hujuraat: 17)

Jom Pakat Sokong Kepimpinan Ulama

Tiada ulasan: