Ahad, 28 Disember 2008

Antara Dua Penghinaan: Blog Yang Menghina Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam & UMNO Yang Menghina Hukum Allah Taala…. Apa Pandangan Masyarakat.?

Keimanan kita diuji oleh Allah Taala. Samada kita sayangkan agama Islam dengan sebenar-benarnya ataupun kasih sayang kita hanyalah palsu. Cuba kita renungkan dua situasi yang sedang berlaku di negara kita sekarang;

Situasi pertama:

Blog yang menghina Baginda Sollallahu’alaihiwasallam.

Situasi Kedua:

Pemimpin-pemimpin bumi Malaysia yang menghina hukum Allah Taala.

Tidakkah kedua-dua ini merupakan penghinaan yang membawa kepada tercabutnya keimanan dari diri seseorang? Saya tidak bercadang untuk menghukum sesiapa dalam ruangan ini. Sekadar meninggalkan persoalan ini untuk sesiapa sahaja yang membaca supaya berfikir dengan hati yang terbuka bersama-sama saya.



Ingat! Umat Islam punya harga diri. Mereka tidak boleh dipermainkan dengan terlalu mudah. Allah Taala dan Rasulnya Sollallahu’alaihiwasallam adalah dua elemen penting dalam jiwa Muslim yang benar-benar menyerahkan sepenuhnya keimanan kepada Pencipta.

“ Rakyat mengikut agama pemimpinnya”

Boleh jadi itu antara sebabnya.

“ Institusi ulama’ dipermainkan”

Boleh jadi itu juga antara sebabnya.

Nanti ada yang mengatakan; “ Ah! Sibuk menyalahkan pemimpin sahaja..mengapa tidak salahkan ulama’-ulama? Mengapa tidak salahkan ibu-bapa? Mengapa tidak salahkan diri sendiri?”. Tulisan kali ini bukanlah ingin meletakkan sesiapa dalam kandang pesalah. Tetapi, sekadar peringatan untuk diri, supaya tidak tertipu dengan ujian duniawi.

Saudaraku para muslimin, hilang keimanan bukan seperti hilang harta benda dunia. Di mana kita meletakkan harga keimanan kita kepada Allah dalam diri kita? Adakah bagi kita agama ini terlalu murah sehingga kita boleh mengawalnya mengikut hawa nafsu semata-mata?

Hakikat sebenar yang saya sendiri sedang fikirkan….

Mana tahu selepas ini ada idea untuk mengenengahkan sillibus pembelajaran mengenai peribadi agung Muhammad Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam di sekolah-sekolah umat Islam. Rasanya semuanya pernah terdengar kesungguhan untuk memasukkan pendidikan seks dalam sillibus pembelajaran di sekolah. Di mana logiknya sillibus seperti itu diperkenalkan? Adakah pendidikan agama Islam hari ini sudah diletakkan di belakang berbanding yang lain?

Hakikat sebenar yang saya sendiri sedang fikirkan….

Hari ini. Siapa yang menjadi contoh tauladan umat Islam? Bagnda Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam atau manusia-manusia yang tidak punya akhlak? Mana satu didahulukan; para pelakon, artis, penyanyi pujaan berbanding Insan Mulia Muhammad Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam?

Hakikat sebenar yang saya sendiri sedang fikirkan….

Mengapa apabila para pemimpin dengan mudah menghina hukum Islam kita mempertahankan pemimpin kesayangan tersebut? Adakah disebaliknya ada niat tersembunyi dan kepentingan yang lebih tinggi untuk dijaga berbanding untuk menjaga hukum Allah dari terus dinodai? Menghina hudud, menuduh hukum Islam tidak sesuai untuk masyarakat majmuk, menghina sunnah Nabi Sollallahu’alaihiwasallam; adakah semuanya bukan termasuk dalam bentuk penghinaan kepada Islam?

Hakikat sebenar yang saya sendiri sedang fikirkan….

Di mana sebenarnya masyarakat meletakkan kedudukan para ulama’ yang menjadi pewaris Para Nabi ‘Alaihimussolatuwasallam? Adakah mereka menganggap hamba Allah yang berpegang dengan kecantikan agama Islam ini telah atau akan menyebabkan mereka ketinggalan atau mundur ke belakang?

Hakikat sebenar yang saya sendiri sedang fikirkan….

Oleh kerana saya juga sedang berfikir mengenainya, saya masukkan entri saya kali ini dengan tajuk yang mungkin boleh untuk kita sama-sama kita fikirkan….

“Antara Dua Penghinaan: Blog Yang Menghina Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam & UMNO Yang Menghina Hukum Allah Taala….Apa Pandangan Masyarakat Malaysia???”

SAHUT SERUAN INI:

“ JOM BERSAMA KEPIMPINAN ULAMA’ ”

Penghinaan Ke Atas Rasulullah Sollahu’alaihiwasallam: Menguji Tahap Kecintaan Umat Islam Terhadap Baginda Sollallahu’alaihiwasallam

Oleh : Syukri Nazar
Keberaniaan musuh Islam menyerang Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam secara terang-terangan semakin menular di bumi Malaysia. Baru beberapa hari kita dikejutkan dengan kewujudan satu blog yang menghina batang tubuh Junjungan Besar Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam. Perkara yang menguji kesabaran umat Islam. Mungkin kita akan mendengar ulasan-ulasan yang berkaitan dengan penghinaan ini dari pelbagai lapisan masyarakat. Setakat ini, saya masih belum membaca ulasan-ulasan yang berkaitan dengannya. Terasa juga ingin menulis. Cuma keberadaan saya dalam musim yang semakin hampir dengan imtihan menyukarkan saya untuk menulis dengan panjang lebar mengenainya. Doakan semoga Allah Taala mempermudahkan saya untuk menulis di masa akan datang mengenai ketinggian peribadi seorang Insan Mulia yang dipilih oleh Allah Taala, Sayyidina Muhammad Rasullullah Sollallahu’alaihiwasallam.



Mereka yang menghina Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam seolah-olah terlalu jahil mengenai kesempurnaan yang ada pada Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Sedangkan ianya diakui oleh semua manusia dari dahulu sehingga sekarang samada dari kawan mahupun lawan.


قال أحد من أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم :

" لَأَنْ أُذْبَحَ أَوْ أُقْتَلَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يُشَاكَى مُحَمَّدٌ صلى الله عليه وسلم بِشَوْكَةٍ "


Maksudnya: Berkata salah seorang dari sahabat: “Sekiranya aku disembelih atau dibunuh lebih baik dari Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam disakiti dengan sebatang duri”


قَالَ أَحَدُ المُشْرِكِيْنَ لِقُرَيْش:

" لَقَدْ دَخَلْتُ عَلَى كِسْرَى وَقَيْصَر وَرَأَيْتُ المُلُوكَ والأَكَابِيْرَ فَمَا رَأَيْتُ أَحَدًا يُعَظِّمُهُ أَصْحَابُهُ كَمَا يُعَظِّمُ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ مُحَمَّدًا "


Maksudnya: Berkata salah seorang dari musyrikin kepada kaum Quraisy: “Aku telah masuk bertemu Raja Parsi dan Raja Rom..dan aku melihat raja-raja dan pembesar-pembesar..Aku tidak pernah melihat seorang pun pengikut yang membesarkan mereka sepertimana pengikut Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam mengagungkan Muhammad…Sollallahu’aalaihi wa aalihi wasallam..”


Dalam ruangan kali ini, saya sekadar datangkan dua kata-kata di atas. Sekiranya ada masa, saya akan menyambungnya kembali. Saya sebenarnya sedang cuba menelaah buku ini;


"السيف البتار لمن سب النبي المختار- صلى الله عليه وآله وسلم- "

لأبي الفضل شيخ مشايخنا السيد عبدالله بن محمد بن الصديق الغماري

Semoga Allah Taala menambahkan kecintaan kita semua terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam. Amin.


Khamis, 25 Disember 2008

Istiqamah Dalam Perjuangan

Nota: Entry ini ditulis sempena kemasukan Datu’ Abu Zahar Hashim, bekas Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan ke dalam Parti Islam Semalaysia (PAS)

“ Hati itu berada pada dua celah jari ar-Rahman, Dia membolak-balikkannya mengikut yang Dia kehendaki”

Siapa dalam kalangan kita yang mampu menyangka orang yang paling lantang berpidato mempertahankan perjuangan Islam akan meninggalkan Islam? -Na’uzubillah- . Siapa mampu mengagak orang yang paling kuat menentang perjuangan Islam akan bersama Islam suatu hari nanti? Semuanya telah berlaku.. Orang yang berjawatan tinggi dalam saf kepimpinan jemaah Islam di bumi Malaysia pernah meninggalkan saf perjuangan itu. Musuh pula yang selama ini menentang akhirnya bertukar menjadi insan yang paling mencintai perjuangan mulia ini.

Allah Taala mengajar kita dengannya supaya kita menyedari bahawa nikmat berada dalam agama Islam dan berada dalam saf jemaah islam ini adalah kurniaan serta anugerah dariNya semata-mata. Sekiranya Allah menghendaki, Dia boleh menariknya daripada kita.Tidakkah sebelum ini kita pernah membincangkan bahawa - Islam bukan mulia kerana kita, tetapi kita mulia kerana kita memilih Islam sebagai jalan hidup-?




“ Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya sekiranya kamu bersyukur, nescaya akan Aku tambahkan kepada Kamu (nikmat itu).Sekiranya kamu ingkar sesungguhnya azabKu amat pedih”

(Ibrahim: 7)

Lihatlah kisah para Anbiya’ terdahulu yang memahami hakikat ini, hati mereka sentiasa mengingati bahawa segala kelebihan yang ada pada mereka adalah semata-mata anugerah darinya. Sudah pasti dengan mukjizat yang ada para Anbiya’ ‘Alaihimussolatuwassalam melebihkan mereka dari manusia yang lain. Apatah lagi mereka semua adalah pilihan Allah Taala. Oleh kerana itulah, para Anbiya’ sentiasa melazimi dalam diri mereka perasaan syukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah ke atas mereka.

Cuba kita lihat kisah Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam. Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam antara nabi-nabi yang dikurniakan banyak kelebihan kepadanya. Seluruh makhluk tunduk dengan arahannya. Namun, tidak ada kesombongan dalam dirinya melainkan semakin tawadhu’ dirinya dengan kekuasaan Allah Taala yang Maha Agung. Teliti dengan sebaiknya kisah dari al-Quran mengenai perihal Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam ini;

“ Berkata Sulaiman: hai pembesar-pembesar, siapakan di antara kamu sekalian yang sanggup membawa singgahsananya (singgahsana Balqis) kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri.. Berkata Ifrit (yang cerdik) dari golongan Jin: Aku akan datangkannya kepadamu dengan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi boleh dipercayai….Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari kitab: ‘ Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkedip. Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak dihadapannya, iapun berkata: “Ini adalah kelebihan kurniaan Tuhanku, untuk menguji samada aku bersyukur ataupun aku kufur”. Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya kesyukuran itu untuk (kebaikan) dirinya. Dan barangsiapa yang kufur maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya Lagi Maha Mulia”

(An-Naml: 38-40)

Lihatlah ucapan Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam itu – Ini adalah kelebihan kurniaan Tuhanku untuk mengujiku samada aku bersyukur ataupun aku kufur -. Cukuplah ianya menjadi pengajaran berharga untuk kita sentiasa tawadhu’ kepada kekuasaan Allah Taala.

Kita mengambil pengajaran dari peristiwa yang berlaku di sekeliling kita bagaimana Allah Taala membolak-balikkan hati hambaNya semata-mata kerana sikap yang ada pada hamba itu sendiri. Kita berdoa kepada Allah supaya lebih ramai dari kalangan musuh Islam akan meninggalkan perjuangan jahat mereka untuk sama-sama berada dalam saf perjuangan Islam ini.

Tidak lupa untuk kita sentiasa memperbanyakkan doa kepada Allah supaya sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan agama Allah ini. Samada Allah Taala mengurniakan kemenangan kepada perjuangan ini dalam keadaan kita mampu menyaksikan kejayaan ini ataupun kita syahid kerana mempertahankannanya.

“ Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan hati ini agamamu dan ketaatan kepadamu. Maha Suci Engkau sesungguhnya kami ini termasuk orang yang zalim”

“ Wahai Tuhan Kami, janganlah engkau balikkan hati kami setelah Engkau berikan hidayat kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Kurnia”

Sesungguhnya, bukan kita yang menyumbang jasa kepada Islam, tetapi Islamlah yang telah banyak berjasa kepada kita.

“ Mereka menyangka telah member ni’mat kepadamu dengan keislaman mereka. Katakanlah kepada mereka: “Janganlah kamu merasa telah member ni’mat kepadaku dengan keislamanmu. Sebenarnya Allah Tala Dialah yang melimpahkan ni’mat kepadamu dengan menunjuki kamu kepada keimanan, jika sekiranya kamu adalah orang-orang yang benar”

( al-Hujuraat: 17)

Jom Pakat Sokong Kepimpinan Ulama’

Rabu, 24 Disember 2008

ALLAH TAALA MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA PENYAYANG

Oleh : Syukri Nazar

Kisah Si Pembunuh dengan Rahib dan Orang ‘Alim

“ Daripada Abu Sa’id al-Khudri; sesungguhnya Nabi Sollallahu’alaihiwasallam pernah bersabda: Adalah pada zaman sebelum kamu terdapat seorang lelaki yang telah membunuh 99 nyawa. Maka dia bertanya orang yang paling alim dalam kalangan ahli bumi (pada waktu itu), lalu dia menunjukkan kepada Rahib. Maka dia mendatangi Rahib itu dan bertanya: Sesungguhnya dia telah membunuh 99 nyawa, adakah taubatnya akan diterima? Rahib menjawab: Tidak. Lalu, dia membunuh Rahib itu, maka genaplah yang dibunuhnya 100 nyawa. Kemudian dia bertanya (kali kedua) orang yang paling alim dalam kalangan ahli bumi, lalu dia menunjukkan kepada seorang lelaki yang alim. Maka dia bertanya: Sesungguhnya dia telah membunuh 100 nyawa, adakah taubatnya akan diterima? Orang alim itu menjawab : Ya, siapakah yang menghalang antaranya dengan taubah? Pergilah kamu ke bumi begini begini, kerana di dalamnya ada manusia yang mengabdikan diri kepada Allah. Maka, abdikan diri kepada Allah bersama mereka dan jangan kamu kembali ke bumi mu kerana sesungguhnya bumi itu merupakan bumi yang jahat. Maka, dia bertolak. Sehingga apabila sampai dipertengahan perjalanan, dia dijemput oleh kematian. Maka berbalahlah antara malaikat rahmat dan malaikat azab; Berkata malaikat rahmat: Dia datang dalam keadaan bertaubat dan hatinya dihadapkan kepada Allah. Berkata malaikat azab; Sesungguhnya dia tidak pernah melakukan kebaikan sedikitpun. Datanglah satu malaikat lain dengan rupa manusia dan dia berhakim antara keduanya. Lalu malaikat(yang menjadi hakim) itu berkata: Ukurlah antara dua bumi ini, ke arah mana dia paling dekat maka dia adalah miliknya. Lalu diukur. Maka, didapati orang yang bertaubat itu lebih dekat ke arah bumi tempat tujuannya untuk bertaubat, lalu dia diambil oleh Malaikat Rahmat”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)




Kesimpulan Cerita;

Cerita ini bukanlah sekadar khayalan dari Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam bahkan ianya merupakan satu kisah yang benar-benar berlaku kepada seorang lelaki dari umat-umat terdahulu yang tidak sampai kepada kita satu riwayat pun tentang nama dan zaman dia berada padanya. Lelaki ini telah biasa membunuh dan bergelumang dengan darah sehingga dia telah membunuh 99 nyawa. Maka, Allah Taala menghendaki untuknya hidayah. Lalu, Allah menolongnya dengan melapangkan dadanya untuk bertaubat dengan taubat nasuha yang membersihkannya dari dosa besar ini dan daripada penyesalannya yang tinggi atas perbuatannya di samping kebenciannya yang tinggi terhadap pembunuhan itu. Keadaan ini telah mengundang dirinya bertanya untuk meminta fatwa mengenai keadaan taubatnya selepas dia telah membunuh sebelumnya ramai orang.

Semoga kita sama-sama mampu merasai kebenaran taubatnya dan kesungguhnanya untuk bertaubat daripada dosa ini. Kesungguhan ini dapat kita perhatikan apabila dia tidak bertanya dengan orang biasa atau dari sembarangan orang alim yang boleh jadi memberi faedah dan boleh jadi tidak. Bahkan dia bertanya tentang itu dari orang yang paling alim ketika itu sehingga apabila dia berfatwa tidak perlu lagi fatwa selepasnya. Dengan kehendak Allah, dia menunjuk kepada seorang rahib yang menghabiskan hidupnya hanya dengan beribadah kepada Allah tanpa ilmu. Oleh sebab kejahilannya, dia berfatwa mengenai kelembutan agama ini tanpa bersandar pada dalil dan tidak bergantung pada hujah. Dia menfatwakan bahawa sudah tidak ada taubat untuk si pembunuh itu. Lalu tergerak perasaan dan naluri si pembunuh yang bertanya tadi untuk membunuh rahib itu dan genaplah 1oo nyawa dibunuh olehnya.

Tentang ucapan pendita itu, berkata Imam Qurthubi Rahimahullah; (( Apa yang diucapkan oleh Rahib itu bahawa sesungguhnya tidak ada taubat untuknya dalil tentang sedikitnya ilmu pendita itu dan ketidakbijaksanaannya sebagaimana kesilapannya dalam mengeluarkan fatwa. Dia juga tidak menggunakan uslub yang sesuai untuk menjaga dirinya ketika berdepan dengan orang yang telah sangat terbiasa dengan membunuh……………………..))

Dalam keadaan dia sendiri sudah benci dengan pembunuhan, fatwa yangdikeluarkan menyebabkan jiwanya beergelora untuk membunuh Rahib yang mengeluarkan fatwa sedemikian dan jadilah Rahib itu sebagai mangsanya yang ke 100. Walaupun begitu, jiwanya tetap bersungguh-sungguhn untuk bertaubat dan menyucikan dirinya dari dosa ini. Maka, dia mengulangi kembali soalannya dari orang yang paling alim itu, lalu untuk kali kedua ini dia ditunjukkan kepada salah seorang lelaki yang alim lagi mulia di zaman itu.

Berkata Imam Qurthubi Rahimahullah; (( Dan Allah Taala meredakan keadaannya, berbaki pada dirinya keinginan yang tinggi untuk bertanya keadaan dirinya. Disebabkan dia sentiasa mencari (siapa yang mampu memberi jawapan yang melegakaan hatinya), Allah Taala telah membawanya kepada lelaki yang alim lagi mulia, Apabila dia bertanya dia menjawab dengan tepat dan betul. Maka si alim itu bertanya kepadanya apa yang menghalang antara kamu dengannya (dengan taubat). Dia mengeluarkan fatwa dan menafikan bahawa taubatnya akan ditolak. Kemudian dia memberitahu apa yang bermanfaat untuk si pembunuh itu untuk merealisasikan keinginannya untuk bertaubat iaitu meninggalkan negerinya yang menyebabkan dia tunduk dengan kebiasaan penduduk itu dengan kerosakan, dan kerana kaumnya yang menyebabkan dia berkelakuan sedemikian dan membawanya kepada perbuatan yang buruk ))

Kesungguhan lelaki tersebut untuk bertaubat terserlah apabila dia mengikut apa yang diberitahu oleh orang alim itu supaya meninggalkan negerinya dengan gembira dan lapang dada. Takdir Allah, dia bertemu ajal di pertengahan jalan sebelum sampai ke tempat yang ditunjukkan oleh orang alim kepadanya. Berlakulah perebutan antara Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab sehingga Allah Taala menghantar satu malaikat yang berupa manusia untuk menjadi hakim kepada mereka.

Hasilnya, Allah Taala menghendaki bahawa Malaikat Rahmat lebih layak untuk mendapatkan lelaki tersebut. Walaupun lelaki itu tidak pernah berbuat kebaikan bahkan telah membunuh ramai nyawa, tetapi kesungguhan dan keikhlasannya yang betul-betul dihadapkan kepada Allah di penghujung usianya diterima oleh Allah Taala.

Wallahua’alam.