Jemaah haji baru sahaja pulang dari melaksanakan haji. Semoga Allah Taala mengurniakan kepada mereka haji yang mabrur. Kali ini, cuba kita perhatikan pula ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah, Allah Taala cuba membawa kita untuk mengenali dua golongan manusia. Dua golongan yang sangat berbeza. Ayat ini didatangkan dalam al-Quran selepas ayat berkaitan dengan ibadah haji.
Dalam kita berhadapan dengan pelbagai karenah manusia hari ini, kadang-kadang menyebabkan kita tidak mengetahui siapa sebenarnya di pihak yang benar. Masing-masing mengakui ingin membantu kita. Mengapa umat Islam meninggalkan al-Quran untuk menjadi penilai bagi mereka terutamanya ketika mereka ingin memilih manusia yang akan memimpin mereka ke arah cahaya kebenaran?
Perhatikan ayat-ayat di bawah;
Golongan pertama yang disebut dalam al-Quran;
“ Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah musuh yang paling keras. Dan apabila ia berpaling (dari kamu) dia mengadakan kerosakan di atas muka bumi, merosakkan tanaman dan haiwan ternakan dan Allah tidak menyukai kebinasaan. Dan apabila dikatakan kepada mereka; bertakwalah kepada Allah, bangkitlah kesombongannya yang menyebabkan berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka Jahannam. Dan sesungguhnya neraka Jahannam itu seburuk-buruk kediaman”
( al-Baqarah; ayat 204-206)
Golongan kedua;
“ Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah, Dan Allah Maha Lembut/Menyayangi akan hambaNya”
( al-Baqarah; ayat 207)
Oleh itu, dalam kita berdepan isu semasa hari ini. Pastikan dua ayat di atas menjadi panduan terbaik untuk kita semua. Jangan kerana kesilapan kita dalam menilai manusia menyebabkan kita merana di dunia, hina di hari akhirat.
Kemudian, sahutlah seruan dari Allah pada ayat selepasnya, mudah-mudahan kita dipimpin olehNya menuju kebenaran.
“ Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang amat nyata. Tetapi jika kamu menyimpang dari jalan Allah sesudah datang kepadamu bukti yang nyata, maka ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana”
(al-Baqarah; ayat 208-209)
Khas untuk pengundi-pengundi PRK 036 Kuala Terengganu, pilihlah calon terbaik untuk kebahagiaan anda dunia dan akhirat.
Untuk seluruh jentera pilihanraya bagi Pakatan Rakyat, teruskan berjuang. Sesungguhnya anda di pihak yang benar. Siiruu ‘alaa baarakatillah……
Tiada ulasan:
Catat Ulasan