Jumaat, 10 Oktober 2008

SYAWAL

Artikel 1;

ILMU TERAS KEKUATAN UKHUWWAH & UMMAH

Kedatangan Syawal menjadi saksi kepada amalan saling bermaafan yang dipraktikkan dalam masyarakat Muslim. Satu amalan mulia yang senantiasa dianjurkan oleh Islam terhadap umatnya. Amalan-amalan mulia seperti ini tidak sepatutnya terhenti setakat kedatangan hari raya, bahkan ianya mesti diteruskan sepanjang masa. Tidak ada satu perkara yang merugikan bagi sesiapa sahaja yang mengamalkan sifat suka memaafkan. Dari sinilah terbinanya perasaan ‘mawaddah wa rahmah’ dalam diri setiap mu’min yang bersaudara. Sikap ini merupakan salah satu daripada sifat-sifat hambaNya yang bertakwa sebagaimana yang digariskan oleh Allah melalui dalam surah ali-‘Imran

Firman Allah Taala:“ Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhanmu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya di waktu senang mahupun susah, orang yang menahan marahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Dan Allah itu suka orang-orang yang berbuat kebaikan……”

(ali-‘Imran: 133-134)

Sesungguhnya rahsia kejayaan atau keruntuhan sesuatu masyarakat itu adalah bergantung kepada perasaan cinta dan sayang. Bagaimana perasaan cinta dan sayang itu mampu menjadi ubat dan dalam masa yang sama mampu menjadi racun? Jawapannya; tidak syak lagi bahawa hati manusia itulah yang mengawal segala tindak tanduk mereka. Apabila hati berpaling kepada Tuhan yang menciptakan mereka dengan sebaik-baik kejadian, menyerahkan segala perasaan cinta, rindu dan sayang kepada ar-Rahman, nescaya ketika itu segala perbuatan yang dilakukan adalah semata-mata untuk mencari redhaNya bukan redha makhlukNya. Apabila cinta manusia itu diserahkan kepada hawa nafsu, bermulalah era keruntuhan dalam dirinya dan sekelilingnya.

Perselisihan pendapat merupakan suatu perkara yang tidak dapat dielakkan daripada berlaku dalam masyarakat hari ini. Bahkan, itulah ketetapan dari Allah Taala kepada makhlukNya sebagai ujian yang dibentangkan kepada mereka. Manusia yang mendapat rahmat dari Allah akan mampu berdepan dengan ujian ini sekaligus mengatasi setiap masalah yang bakal berlaku. Janji Allah Taala kepada hambaNya pasti berlaku.

“ Jikalau Tuhanmu menghendaki nescaya dia akan menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih. Kecuali mereka yang mendapat rahmat Allah. Dan untuk itulah mereka diciptakan. Kalimat Tuhanmu telah ditetapkan bahawa sesungguhnya Aku akan memenuhkan neraka jahanam dengan manusia dan jin (yang derhaka) semuanya”

( Huud: 118-119)

Wahai sekalian saudaraku,

Sempena Syawal yang mulia ini, ingatlah dan ketahuilah bahawa sesungguhnya roda Islam yang dimuliakan kita dengannya berputar melalui sifat saling menyayangi. Intipati Islam itulah adalah perasaan saling merahmati dan menghormati. Tawadhu’ dengan sekalian hamba Allah Taala yang senantiasa tunduk dengan perintahNya. Kita semua membaca Kalamullah yang mulia ketika mana Dia menyifatkan hambaNya iaitu sahabat Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam dengan sifat ruhama’ antara sesama mereka sebelum menyifatkan mereka dengan rukuk, sujud dan tunduk meng’abdikan diri kepada Allah.

“ Muhammad itu Pesuruh Allah Taala. Dan orang yang bersama dengannya bersikap keras dengan golongan yang kufur, berkasih sayang antara sesama mereka, kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia dari Allah dan keredhaanNya. Tanda-tanda mereka tampak kelihatan dari kesan sujud …”

( al-Fath: 29)

Ketika Allah Taala berbicara menegenai ‘aqobah dalam surah al-Balad dalam usaha mencari keredhaan dari Allah, Allah Taala menerangkannya dengan jelas dan terang;

“ Dan Kami menunnjukkan bagi kamu dua jalan. Maka tidakkah sebaiknya (dengan hartanya itu) ia menempuh jalan yang mendaki lagi sukar? Tahukah kamu apakah jalan yang mendaki lagi sukar itu? Iaitu membebaskan hamba. Atau member makan pada hari kelaparan. Atau kepada anak yatim yang ada hubungan kerabat. Dan dia termasuk dalam golongan orang-orang yang beriman dan saling berpesan supaya bersabar dan saling berpesan supaya berkasih sayang”( al-balad: 10-17)

Manusia yang paling jauh dari sifat saling menyayangi adalah orang paling sibuk dengan kemewahan dunia. Tenggelam dalam nikmat dunia serta kemewahannya menyebabkan kerasnya hati. Tidak ada penawar yang paling mujarab untuk mengubati penyakit ini melainkan kita sama-sama memperuntukkan sedikit masa untuk duduk dalam majlis ilmu bagi mentajdid keimanan kepada Allah. Cahaya Allah pasti menerangi hati sesiapa sahaja yang bersedia meluangkan masanya untuk duduk sejenak bersama dengan majlis ilmu, majlis nasihat dan mengingati Allah Taala. Tidakkah Nabi Sollallahu’alaihiwasallam pernah bersabda:

“ Apabila kamu melalui kebun-kebun syuga, singgahlah untuk bersama dengannya” Sahabat bertanya; “ Apakah kebun-kebun syurga itu wahai Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam”. Baginda Sollallahu’alahiwasallam menjawab: “ Majlis zikir ( mengingati Allah Taala). Kerana bagi Allah Taala itu ada dutaNya dalam kalangan para malaikat yang akan mencari majlis-majlis zikir untuk menaungi mereka”

( Hadis Riwayat Muslim)

Ilmu merupakan asas penting dalam semua aspek kehidupan manusia. Tanpa ilmu, manusia ibarat layang-layang yang terputus talinya. Tiada pemandu yang akan menunjuk jalan ke arah tempat tujuan yang selamat dan bahagia. Wahyu yang pertama memberi satu petunjuk penting bahawa Islam dibina atas dasar ilmu dan kasih sayang. Sesiapa yang sentiasa mengkajinya pasti mampu merasainya. Tiada yang lebih berharga selain dari ilmu dan amalan. Tiada yang lebih bernilai selain dari redha ar-Rahman. Teruskan perjuangan menimba ilmu dan pengetahuan.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, KULLU ‘AAM WA ANTUM BI KHAIR

Artikel 2:

KEGEMBIRAAN KITA: DIPUJI ATAU DIKEJI SYARA’?

Allah Taala yang Maha Bijaksana menjadikan perayaan Aidilfitri sebagai satu sambutan merayakan kemenangan melaksanakan perintah Allah dalam bulan Ramadhan yang mulia. Syawal yang hadir menggantikan Ramadhan disyariatkan dalam suasana umat Islam diperintahkan untuk melahirkan perasaan gembira. Mengingati perkara yang boleh membawa kepada perasaan sedih adalah dilarang. Takbir dilaungkan sebagai tanda syukur atas nikmatNya. Sebagaimana Allah Taala menjadikan kewajipan zakat fitrah untuk orang yang beriman bagi menghilangkan rasa sedih dan dukacita golongan faqir dan miskin, begitulah Dia yang Maha Agung menjadikan kedatangan Aidilfitri sebagai pengubat duka hambaNya yang taat selepas berlalunya Ramadhan yang penuh dengan keberkatan yang tidak terhitung nilainya.

Persoalannya, adakah kegembiraan yang dilahirkan oleh umat Islam hari ini, umumnya dan kita sendiri secara khususnya dikira sebagai kegembiraan yang diperintahkan oleh Allah ataupun kegembiraan yang dilarang olehNya?

Perhatikan dua ayat al-Quran di bawah;

1) “ Katakanlah (wahai Muhammad): Dengan kelebihan kurniaan Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu kamu bergembira. Kurnia Allah dan rahmatNya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan”

(Yunus: 58)

2) “ Ingatlah ketika kaumnya berkata kepadanya, jangan kamu bergembira, sesungguhnya Allah Taala tidak suka orang yang gembira

(al-Qasos: 76)

Adakah ayat al-Quran itu saling bertentangan; satu ayat memerintahkan kepada kita supaya bergembira, satu ayat yang lain pula melarangnya?

Sebelum kita menjawab persoalan yang dilontarkan di atas, pernahkah kita mendengar firman Allah Taala dalam al-Quran al-Karim yang bermaksud;

“ Dan Kami menjadikan kebaikan dan keburukan itu sebagai satu ujian kepada kamu, dan kepada kami kamu semua akan kembali”

(al-Anbiya’: 35)

Sudah pasti dalam pemikiran manusia, Allah Taala akan menggunakan perkara yang baik sebagai nikmat dan ganjaran kepada hamba yang disayangiNya manakala perkara yang buruk sebagai azab dan seksa kepada hamba yang dimurkaiNya. Akan tetapi, keadaannya bukan seperti itu, - wahai sekalian hamba Allah-.

Sesungguhnya semua yang berada di alam ini adalah tentera Allah. Apa yang dikehendakiNya akan berlaku dan apa yang tidak dikehendakinya tidak akan berlaku. Yakinlah, Allah Taala berkuasa menjadikan kebiasaan perkara yang baik itu sebagai ujian bagi mengazab manusia dan begitulah sebaliknya.

Hebatnya susunan kerja Allah Taala. Penuh dengan hikmah yang tidak mampu difikirkan oleh akal fikiran seorang hamba. Layaklah bagi diriNya untuk kita semua tunduk dan patuh atas segala arahanNya. Segala perkara yang tidak munasabah menjadi munasabah bila perkara itu adalah kehendak dariNya. Tidak hairanlah Nabi Sollallahu’alaihiwasallam mengajar supaya berdoa ketika turunnya hujan supaya hujan yang turun itu mampu memberi manfaat kepada makhluk di atas muka bumi. Tidakkah hujan yang turun akan membawa faedah kepada seluruh hidupan? Jawapannya sudah tentu tidak.

Apakah mesej yang terkandung dari perkara sebegini yang cuba disampaikan oleh Allah Taala kepada hambaNya yang sentiasa berfikir? Seolah-olah Allah Taala cuba memperingatkan kepada manusia; “ Sesungguhnya segala perkara di alam ini; langit, udara dan darat semuanya tidak mempunyai apa-apa kekuasaan. Yang Maha Berkuasa hanyalah Aku. Tidak ada sesuatu pun yang mampu menandingi kekuasaanKu. Seluruh alam berada di bawah tadbirKu. Akulah yang menjadikan sesuatu di alam ini sebagai sebab kepada sesuatu kebaikan ataupun keburukan. Adapun alam ini hanyalah sekadar sebahagian dari tenteraKu”

Oleh yang demikian, fahamilah dengan sebaik-baiknya bahawa kegembiraan yang dilahirkan bukanlah semata-mata bersifat zahir kepada sesuatu daripada alam ini, akan tetapi kegembiraan terhadap kurniaan dan kelebihan yang diberikan oleh Allah kepada kita semua. Jangan disebabkan nikmat yang banyak, terhijab diri kita dari mengingati Pemberi nikmat . Semoga kegembiraan yang hadir pada diri kita adalah sebagai satu tanda rasa sayang Allah Taala kepada kita semua. Apabila sesuatu kegembiraan yang hadir pada diri kita itu merupakan satu ‘surat cinta’ dari Allah, maka itulah yang dimaksudkan oleh Allah Taala melalui firmanNya; “ Katakanlah (wahai Muhammad): Dengan kelebihan kurniaan Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu kamu bergembira. Kurnia Allah dan rahmatNya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan”

Maka, terjawablah persoalan di atas. Al-Quran sesekali tidak akan berlaku pertembungan. Kegembiraan yang di keji dan dilarang oleh Allah Taala adalah kegembiraan terhadap sesuatu nikmat dalam keadaan diri melupakan Pemberi nikmat. Kegembiraan yang membawa kepada maksiat dan kemusnahan. Adapun kegembiraan yang dipuji oleh Allah Taala adalah kegembiraan yang membawa manusia mendaki tangga perhambaan diri yang diredhai oleh Allah. Kegembiraan yang menjadikan diri semakin cinta kepada Allah, dekat denganNya serta sentiasa tunduk dan menghina diri apabila berdepan dengan perintah ataupun larangan dariNya.

Semoga dalam suasana kita bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri ini, kita tidak lupa untuk sentiasa mengingati segala kurniaan dari Allah Taala serta memperbanyakkan syukur dan istighfar kepadaNya. Marilah sama-sama kita menuju keampunan dan redha dariNya.

“ Supaya kamu semua bertakbir (membesarkan Allah) atas hidayah yang dikurniakan kepadamu dan mudah-mudahan kamu bersyukur”

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ATAS SEGALA DOSA DAN KESILAPAN


Tiada ulasan: