Rabu, 22 Oktober 2008

MENYINGKAP RAHSIA KEJAYAAN GANERASI MUDA TERDAHULU DARI LEMBAYUNG AL-QURAN

Disebabkan pengendali blog ini merupakan salah seorang anak muda yang masih diberi peluang bernafas oleh Allah, tidak salah sekiranya tulisan kali ini menyentuh sedikit mengenai golongan pemuda. Islam di zaman Rasulullah dan zaman-zaman kegemilangan Islam selepasnya mencatatkan kejayaan dan kecemerlangan generasi muda hasil tarbiyyah dari markaz yang dikendalikan oleh Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Sudah pasti di sebaliknya tersembunyi rahsia-rahsia penting yang perlu dicungkil sebagai khazanah berharga untuk kita semua sebagai panduan kecemerlangan di dunia mahupun di akhirat.




Pernahkah kita terdengar atau terfikir mengenai ucapan al-Imam asy-Syafi’e Rahimahullah Taala yang mengandungi satu mesej penting untuk kita semua? Berkata al-Imam Asy- Syafi’e Rahimahullah; “ Kalau tidak diturunkan daripada al-Quran melainkan surah al-‘Asr, nescaya ianya sudah memadai. Kalaulah manusia semuanya berfikir dan mengkaji rahsia yang terkandung di dalamnya, nescaya ia akan memayungi seluruh perjalanan kehidupan mereka” Apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh Imam Mujtahid ini?

Firman Allah Taala;

“ Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan saling menasihati dengan kebenaran serta menasihati dengaan kesabaran

(al-‘Asr: 1-3)

Perhatikan empat ciri penting yang perlu dimiliki oleh seluruh umat Islam yang diikat dengan satu amalan penting bagi membina keutuhan masyarakat yang di‘bold’kan dalam ayat di atas. Pemuda Islam hari ini perlu memiliki kriteria kecemerlangan ini. Jadikan al-Quran dan Hadis sebagai sumber rujukan terpenting. Syaratnya, kefahaman daripada al-Quran dan Hadis itu diambil dari ulama’-ulama’ mu’tabar yang memang ahlinya. Bukan sekadar diambil dari kefahaman dangkal kita semata-mata.

Pertama: Keimanan. Hiasi diri kita dengan keyakinan dan keimanan yang teguh dengan ajaran yang ditinggalkan oleh Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Yakin bahawa dengan iman sahajalah yang akan menyelamatkan kita di dunia dan akhirat.

Kedua: Amal soleh. Keimanan mestilah dilengkapi dengan amalan selepasnya.. Tanpa amal, iman seolah-olah hilang fungsinya. Warnai diri kita dengan akhlak dan peribadi mu’min yang sejati.

Ketiga: Kebenaran. Hilangkan segala keraguan dalam diri kita dengan kebenaran cahaya Islam dan Iman. Sesungguhnya Allah Taala menurunkan kepada kita al-Quran dan Hadis sebagai panduan serta pembeza antara benar dan salah. Justeru, pastikan kedua-duanya menjadi rujukan utama.

Keempat: Kesabaran. Sabar menghadapi segala ujian hidup. Sesungguhnya nafsu syahwat penyebab keruntuhan dan kelemahan dalam diri. Ingatlah, antara jihad yang mulia ialah bersabar berdepan dengan hawa nafsu.

Amalan saling menasihati antara hamba yang beriman menjadi pengikat kepada keempat-empat ciri yang disebut. Ayat dalam surah tersebut memberi satu gambaran penting bahawa amalan menasihati dengan cara yang baik dan penuh berhikmah menjadi sebab kepada pengukuhan ukhuwwah imaniah antara seluruh masyarakat Muslim.

Oleh yang demikian, golongan pemuda Islam hari ini perlu menjadi anasir yang keenam sebagai rumusan kepada lima perkara di atas. Pemuda mesti menjadi generasi yang disebut sebagai HAMBA ALLAH YANG SOLEH yang menghiaskan peribadi mereka dengan kesemua ciri dalam ayat tersebut. SELAMAT BERJUANG MENUJU KEREDHAAN ILAHI!!!

“PEMUDA PEMANGKIN KEBANGKITAN UMMAH”

Tiada ulasan: