Ahad, 18 Januari 2009

PAS menang, Abdul Wahid layak ke Parlimen!

KUALA TERENGGANU, 17 Jan (Hrkh) - PAS telah berjaya memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu melalui calonnya, Abdul Wahid Endut, 51 dalam pilihan raya kecil yang diadakan hari ini.

Kemenangan Abdul Wahid dalam persaingan sengit itu menyaksikan Adun Wakaf Mempelam itu mengalahkan BN yang diwakili oleh calon Umno, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon bebas Azharuddin Mamat, seorang ahli perniagaan.

Ini bermakna jumlah ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertambah menjadi 83 kerusi, sementara jumlah ahli Parlimen BN merosot kepada 137 orang apabila dua ahli Parlimen SAPP turut meninggalkan BN baru-baru ini.

PAS mendapat 32,883 undi manakala BN 30,252, sementara undi calon Bebas adalah 193 undi, di mana PAS mendapat kelebihan majoriti 2,631 undi.




Perkara itu diumumkan oleh Pengurus Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) Negeri di Stadium Negeri, Kuala Terengganu sebentar tadi. Image

Pengumuman kemenangan itu disambut gembira dengan laungan takbir dan sorakan oleh ribuan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat yang berada di pekarangan stadiaum terbabit.

Abdul Wahid, 51 tahun adalah ADUN sejak lima penggal, lulusan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dalam bidang perikanan dan sains marin. Beliau memiliki rekod yang cemerlang sebagai Adun selama lima penggal dan anngota Exco Kerajaan Negeri Terengganu sepanjang tempoh 1999-2004.

Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 4 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana 3 daripadanya dimenangi oleh PAS manakala 1 DUN dimenangni BN (MCA)

DUN-DUN yang dimenangi oleh PAS ialah Wakaf Mempelam (Abdul Wahid Endut), ImageLadang (Tengku Hassan Tnegku Omar), dan Batu Burok (Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.

Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen P036 berikutan kematian mengejut penyandangnya, Allahyarham Dato' Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 27 Oktober lalu.

Pada pilihan raya umum ke-12, 8 Mac 2008 lalu Razali menang tipis dengan majoriti 628 undi menewaskan calon PAS, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf hanya mendapat 685 undi. Jumlah pengundi berdaftar di Parlimen Kuala Terengganu ialah 80,229 orang termasuk 1,035 pengundi pos. - azm _

harakahdaily

Selasa, 13 Januari 2009

MENGENALI DUA GOLONGAN MANUSIA DARI PETUNJUK AL-QURAN

Umat Islam masih lagi berada di awal Tahun 1430. Masa ini adalah masa untuk memulakan langkah menyusun gerak kerja ke arah melaksanakan azam dan cita-cita tahun baru. Sekalian Muslim perlu menjadikan tarikh Hijrah sebagai tarikh yang sentiasa bermain di fikiran. Hijrah meninggalkan kesan yang sangat besar dalam siri-siri peristiwa yang bersejarah dalam kalendar Islam. Hijrahnya Baginda Sollallahu’alaihiwasallam merupakan satu marhalah untuk melaksanakan setiap perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran sebagai ‘role model’ terbaik untuk umat-umat akhir zaman.

Jemaah haji baru sahaja pulang dari melaksanakan haji. Semoga Allah Taala mengurniakan kepada mereka haji yang mabrur. Kali ini, cuba kita perhatikan pula ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah, Allah Taala cuba membawa kita untuk mengenali dua golongan manusia. Dua golongan yang sangat berbeza. Ayat ini didatangkan dalam al-Quran selepas ayat berkaitan dengan ibadah haji.




Dalam kita berhadapan dengan pelbagai karenah manusia hari ini, kadang-kadang menyebabkan kita tidak mengetahui siapa sebenarnya di pihak yang benar. Masing-masing mengakui ingin membantu kita. Mengapa umat Islam meninggalkan al-Quran untuk menjadi penilai bagi mereka terutamanya ketika mereka ingin memilih manusia yang akan memimpin mereka ke arah cahaya kebenaran?

Perhatikan ayat-ayat di bawah;

Golongan pertama yang disebut dalam al-Quran;

“ Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah musuh yang paling keras. Dan apabila ia berpaling (dari kamu) dia mengadakan kerosakan di atas muka bumi, merosakkan tanaman dan haiwan ternakan dan Allah tidak menyukai kebinasaan. Dan apabila dikatakan kepada mereka; bertakwalah kepada Allah, bangkitlah kesombongannya yang menyebabkan berbuat dosa. Maka cukuplah (balasannya) neraka Jahannam. Dan sesungguhnya neraka Jahannam itu seburuk-buruk kediaman”

( al-Baqarah; ayat 204-206)

Golongan kedua;

“ Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhaan Allah, Dan Allah Maha Lembut/Menyayangi akan hambaNya”

( al-Baqarah; ayat 207)

Oleh itu, dalam kita berdepan isu semasa hari ini. Pastikan dua ayat di atas menjadi panduan terbaik untuk kita semua. Jangan kerana kesilapan kita dalam menilai manusia menyebabkan kita merana di dunia, hina di hari akhirat.

Kemudian, sahutlah seruan dari Allah pada ayat selepasnya, mudah-mudahan kita dipimpin olehNya menuju kebenaran.

“ Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang amat nyata. Tetapi jika kamu menyimpang dari jalan Allah sesudah datang kepadamu bukti yang nyata, maka ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana”

(al-Baqarah; ayat 208-209)

Khas untuk pengundi-pengundi PRK 036 Kuala Terengganu, pilihlah calon terbaik untuk kebahagiaan anda dunia dan akhirat.

Untuk seluruh jentera pilihanraya bagi Pakatan Rakyat, teruskan berjuang. Sesungguhnya anda di pihak yang benar. Siiruu ‘alaa baarakatillah……

Jumaat, 9 Januari 2009

PRK 036 Kuala Terengganu: Lakukan Perubahan Dengan Semangat Hijrah

Bukan semua yang disangka berlaku akan berlaku dan bukan semua yang tidak disangka berlaku tidak akan berlaku. Tidak ada sesuatu yang mustahil bagi Allah untuk mengizinkan perkara yang mustahil pada pandangan manusia untuk berlaku. Cukup dengan Dia mengatakan jadilah, maka sesuatu perkara akan terjadi.

Kita sering mendengar dari mulut sahabat-sahabat kita keinginan untuk berubah, tetapi mereka seolah-olah tidak punya kekuatan untuk melakukannya. Terkadang kerana dihalang oleh sifat malu kepada kawan-kawan. Kadang-kadang terhalang oleh sifat sombong dalam diri serta sikap tidak mahu mengalah dengan kebenaran.

Perubahan yang cuba dibincangkan di sini adalah perubahan ke arah kebaikan, bukannya ke arah keburukan. Manusia yang bersih hati sentiasa mengharapkan orang-orang yang berada di sekelilingnya berubah ke arah yang lebih baik. Umat Islam yang suci hatinya sentiasa ingin berkongsi kebaikan dengan orang lain serta mengharapkan mereka sama-sama memperoleh hidayah dan rahmat dari Allah.




“ Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah dari melakukannya”

Mustahilkah untuk seseorang itu berubah? Itulah persoalan yang cuba dilontarkan dalam perbincangan kali ini.

Suatu peristiwa yang hampir mustahil berlaku. Pengislaman musuh yang selama ini menentang Islam, akhirnya menjadi salah seorang yang paling rapat dengan Allah, bahkan dijamin syurga oleh Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Amirul Mu’minin, Saidina Umar bin al-Khattab Radiallahu’anhu. Tiada yang menyangka. Hanya kerana terdengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari surah Thaha, terus memeluk agama Islam. Hidayah Allah tidak mengenal sesiapa.

Percayakah, kita mampu untuk berubah sekiranya kita berusaha ke arah itu?

Allah Taala menceritakan kisah Nabi Musa ‘Alaihissalam dengan Firaun dalam al-Quran ketika mana Baginda ‘Alaihissalam terpaksa berdepan dengan tukang-tukang sihir Firaun. Suatu perkara yang mustahil difikirkan berlaku dibuktikan oleh Allah berlaku. Islamnya tukang sihir Firaun selepas melihat mukjizat Nabi Musa ‘Alaihissalam. Allah Taala menyebut dalam al-Quran:

“ Dan Kami wahyukan kepada Musa, lemparkanlah tongkatmu. Maka seketika itu tongkat itu menelan apa yang mereka sihirkan. Maka mereka kalah dan menjadi hina. Dan ahli-ahli sihir itu serta-merta sujud (kepada Allah). Mereka berkata: Kami beriman kepada Allah Tuhan semesta alam. (Iaitu) Tuhan Musa dan Harun”

(al-Aa’raaf: 117-122)

Bahkan apa yang lebih menarik, iman mereka sangat teguh sehinggakan mereka tidak tunduk dengan tekanan dan ugutan dari Firaun. Mereka menjadi manusia yang paling kuat bertawakkal dan bergantung kepada Allah selepas itu. Firman Allah Taala:

“ Firaun berkata: Apakah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya perbuatan ini adalah satu muslihat yang telah kamu rancangkan di dalam kota ini, untuk mengeluarkan penduduknya daripadanya, kelak kamu akan mengetahui. Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kakimu dengan bersilang secara bertimbal balik, kemudian bersungguh-sungguh aku akan menyalib kamu semuanya”

(al-Aa’raaf: 123-124)

Lalu ahli sihir itu menjawab:

“ Ahli-ahli sihir itu berkata: Sesungguhnya kepada Tuhanlah kami akan kembali. Dan kamu tidak menyalahkan kami melainkan kerana kami telah beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami ketika ia datang kepada kami. Mereka berdoa: Wahai Tuhan kami, kuatkanlah kesabaran kepada kami dan wafatkanlah kami dalam keadaan berserah diri (muslimin)

(al-Aa’raaf: 125-126)

Begitulah kisah yang diceritakan dalam al-Quran tentang perubahan yang berlaku pada ahli sihir Firaun setelah melihat kebenaran yang di bawa oleh Nabi Musa ‘Alaihissalam.

Sempena berada dalam musim pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu, persoalan yang cuba dilontarkan kepada semua, sukarkah untuk kita berhijrah meninggalkan kumpulan yang jelas tidak menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai panduan? Tidakkah mata yang dikurniakan oleh Allah Taala telah melihat siapa di pihak yang benar, siapa di pihak yang salah? Tidakkah hati kita tidak mampu merasakan keikhlasan perjuangan PAS yang dipimpin oleh ulama’-ulama’ yang istiqamah untuk mengembalikan Islam berdaulat dalam negara?

Jadi, tunggu apa lagi? Khas untuk para pengundi PRK 036 Kuala Terengganu, undilah calon PAS dalam pilihanraya nanti dan akan datang. Untuk sahabat-sahabat dalam UMNO, buangkan perasaan sombong dalam diri, tinggalkan perjuangan palsu UMNO, Jom Pakat Sertai PAS….

“Sesungguhnya Allah Taala tidak mengubah sesuatu yang ada pada satu kaum sehinggalah dia mengubah apa yang ada pada dirinya sendiri…”

Bersama Menghayati Semangat Hijrah;

Jom Sertai & Undi PAS

Ahad, 4 Januari 2009

JANGAN LUPA DOA KITA UNTUK PALESTIN

Umat Islam menyambut Maal Hijrah dalam suasana pelbagai ujian dari Allah hadir menimpa. 1430H sepatutnya perlu dijadikan satu tarikh yang sentiasa tersemat dalam setiap ingatan umat Islam. Kita sentiasa diuji. Diuji, setakat mana iman kita kepada Allah. Kita telah diuji. Diuji, supaya memahami cara untuk berdepan dengan isu-isu yang berlaku. Kita akan diuji. Diuji, adakah kita mampu untuk terus istiqamah dalam perjuangan mempertahankan agama Allah?

Siapa yang mampu melarikan diri dari ujian yang telah ditakdirkan? Ujian itu; menambahkan keutuhan iman para mu’min; menambahkan penyakit yang bersarang di hati para munafiq.




Hidup itu penuh dengan warna-warni. Ada hitam dan ada putihnya. Resam hidup; kadang-kadang ketawa, kadang-kadang menangis. Kadang-kadang suka, kadang-kadang duka. Kadang-kadang gembira, kadang-kadang sedih.

Isu Palestin; isu yang menjadi perhatian sejak seminggu yang lalu. Pelbagai berita dilaporkan mengenai nasib saudara-saudara semuslim yang sedang bertarung menghadapi kezaliman Israel laknatullah. Ramai yang masih tersenyum lebar ketika saudara-saudara mereka sedang menahan perit dan derita. Berdepan golongan yang tidak pernah hilang permusuhan dengan Islam.

Siapa yang masih mengingati peristiwa Khaibar? Peristiwa yang berlaku di penghujung tahun 6 Hijrah atau di awal tahun 7 Hijrah. Tidakkah kita sentiasa mendengar laungan lafaz Khaibar, Khaibar Ya Yahud; Jaishu Muhammad Saufa Ya’ud?

Kini, giliran masyarakat Palestin berjuang mempertahankan bumi mereka dari pakatan jahat munafiq dan Israel Laknatullah. Peluang yang disediakan oleh Allah kepada hambaNya yang ikhlas untuk mengecapi nikmat syahid di jalanNya. Dalam diam, para munafiq tersenyum puas melihat para pejuang agama Allah menghadapi saat-saat seperti ini.

Berikan sokongan anda kepada mereka. Jangan jadi Muslim yang kedekut untuk menyumbang. Sumbanglah sedikit masa yang ada untuk bangun berdoa di penghujung malam beberapa ketika sebelum masuknya waktu subuh. Mampukah untuk kita semua lakukannya? Sudikah kita semua untuk korbankan sedikit waktu mengangkat tangan berdoa kepada Allah di saat doa dimustajabkan di penghujung malam untuk saudara-saudara seagama yang sedang mengangkat senjata mempertahankan bumi yang terdapat di dalamnya Masjidil Aqsa yang suci?

Jangan lupa doa anda semua untuk para mujahidin Palestin setiap kali menunaikan solat lima waktu. Amalkan qunut nazilah dan jangan tinggalkan solat hajat setiap hari untuk mereka. Sukarkah kita mencuri masa yang ada untuk melakukannya? Atau kita masih sayangkan dunia yang tidak tahu bila penghujungnya?

Ingat!!! Kalau tidak mampu untuk lakukannya, jangan mengaku diri seorang yang cintakan Islam.

Jangan lupa untuk jenguk sebentar di sini: http://sapuang.blogspot.com/2009/01/qunut-dan-qunut-nazilah.html