Rabu, 29 Julai 2009

Bukan kerjasama Pas-UMNO: Nik Aziz

KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kesediaan beliau menghulur tangan untuk berbaik-baik bukanlah dalam konteks Pas dan UMNO, tetapi antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat.

Beliau berkata, laporan akhbar yang menyatakan beliau Pas dan UMNO bekerjasama tidak tepat dan di luar daripada maksud kenyataan beliau.

“Saya bukan kata hubungan di antara UMNO dengan Pas. Maksud saya ialah hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan pusat kerana negeri kita ni sistem dia feudalisme. Untuk apa nak bekerjasama dengan UMNO,” katanya selepas melawat Karnival Peladang, Penternak dan Nelayan Kelantan 2009 di Padang Perdana di sini, semalam.



Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataannya sebelum ini untuk melupakan sengketa politik antara kerajaan negeri di bawah pemerintahan Pas dan Kerajaan Pusat dalam usaha menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.

Kenyataannya itu mendapat reaksi positif Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata, ia akan membuka lembaran baru dalam kerjasama antara kedua-dua pihak.

Nik Aziz berkata, pihaknya tidak pernah bercadang untuk menjalinkan hubungan baik dengan UMNO dan menjadikan pengalaman ketika zaman Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai pengajaran.

“Kenapa Pas perlu bekerjasama dengan UMNO? UMNO jangan jual murah sangat. UMNO sekarang sudah tidak ada maruah. Nak minta kerjasama dengan orang, waktu gagah dulu UMNO tendang Pas.

“Pas masuk BN dengan jemputan Tun Razak. Bila sudah kukuh selepas tragedi 13 Mei, UMNO tendang Pas. Saya ingat benda ini. Kalau di dunia ini tiada UMNO, Pas dan Melayu boleh hidup dengan baik. Saya tetap tolak kerjasama dengan UMNO,” katanya.

Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am Pas berkata, hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat perlu ditingkatkan berdasarkan kepada perlembagaan yang ada.

Beliau berkata, sewaktu Kelantan di bawah pemerintahan UMNO, Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) tidak diwujudkan sebaliknya bantuan kewangan disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri.

Copy paste

Tiada ulasan: