IPOH, 14 Feb (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin masih merupakan Menteri Besar Perak yang sah.
Sambil mempersoalkan apakah kesalahannya sehingga perlu dilucutkan jawatan, Ustaz Abdul Hadi berkata, kalaupun mahu Nizar diberhentikan juga, hendaklah tindakan yang diambil itu menurut undang-undang.
"Jangan rompak di tengah jalan, jangan rampas begitu sahaja," tegasnya semasa berucap di hadapan lebih 30,000 orang dalam majlis ceramah perdana di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, dekat sini, baru-baru ini.
Ucapan Ustaz Abdul Hadi pada malam itu begitu bersemangat sekali, disulami dengan teriakan takbir yang bergemuruh. Hadirin kelihatan terpaku dengan hujah-hujahnya, terutama apabila beliau banyak mengkritik tindak-tanduk pemimpin tertinggi Umnno, khususnya Dato' Seri Najib Tun Razak.
Turut berceramah, selain Nizar, adalah Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim, dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw. "Pemimpin Umno dahulu ada juga sedikit segan silunya, sekarang kebanyakan mereka sudah tidak ada harga diri," ujarnya.
Ustaz Abdul Hadi turut menyifatkan kerajaan BN di Perak yang dibentuk selepas menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat secara tidak sah sebagai sebuah "kerajaan penyamun".
Beliau kemudiannya bertanya hadirin: "Apakah rakyat bersedia menerima kerajaan perompak ini?" Secara spontan dijawab oleh puluhan ribu orang ramai yang memenuhi perkarangan rumah rasmi Menteri Besar Perak itu: "Tidak!"
Presiden PAS melahirkan rasa bangga kerana dapat melihat rakyat Perak, daripada pelbagai kaum dan agama, berkumpul untuk menentang BN yang disifatkannya sebagai "zalim, tidak ada maruah dan harga diri".
Merujuk kepada peranan Najib dalam usaha tidak bermotal menjatuhkan kerajaan Pakatan di Perak, Ustaz Abdul Hadi berkata: "Belum dapat kuasa sudah tunjuk jahat, saya bimbang kalau sudah jadi Perdana Menteri nanti, hancur negara dibuatnya."
Beliau menggesa seluruh rakyat bangkit secara aman bagi menuntut keadilan.
"Malam ini kita bersatu di Ipoh, esok di Kuala Lumpur, seterusnya di seluruh Malaysia bagi menentang kezaliman dan menegakkan keadilan," tegasnya.
Ustaz Abdul Hadi berpesan agar diselamatkan bahtera negara yang kini, baginya, berada dalam bahaya: "Kapten bahtera ini sekarang mabuk. Marilah kita campaknya ke laut, jangan biarkan dia tenggelamkan bahtera kita bersama,"
Di akhir ucapannya, dengan nada lantang, beliau menyeru agar rakyat bersama-sama segera "mencantas pemimpin negara yang akan menjahanamkan negara". - azm_
Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan