Islam perlu diutamakan dalam menyusun gerak kerja. Kerana itulah matlamat utama perjuangan ini diasaskan. Tidak ada perkara yang lebih penting melainkan perlunya hubungan berterusan dengan Allah Taala sebagai tanda kesyukuran kepadaNya dan tanda keikhlasan kita semua dalam berjuang. Ingatan kepada Allah perlu dipupuk dalam diri dan keluarga terlebih dahulu sehingga Nur Islam itu tampak menyerlah pada masyarakat dan negara.
Para ulama’ sentiasa mengkaji setiap susunan perintah Allah dari KalamNya yang mulia. Ilmu yang mendalam hasil kurniaan Ilahi kepada mereka menganugerahkan satu kefahaman yang jelas terhadap maksud dan kehendak dari setiap perintah Allah Taala kepada hambaNya.. Pastinya, Allah Taala sentiasa menginginkan kebaikan untuk hambaNya.
Alangkah malangnya manusia yang mengabaikan perintah Allah ke atas mereka. Tidakkah mereka menyedari bahawa Allah Taala itu Maha Mengetahui atas tiap-tiap sesuatu? Mengapa mereka bersikap untuk mengambil sebahagian dari perintah Allah Taala dan meninggalkan sebahagian yang lain? Semuanya disebabkan mereka hanya memikirkan untuk memuaskan hawa nafsu mereka tanpa berfikir panjang akibat yang bakal dihadapi hasil perbuatan yang dilakukan pada masa akan datang.
“ ….adakah kamu beriman dengan sebahagian kitab dan meninggalkan sebahagian yang lain. Maka tidak ada balasan bagi sesiapa yang melakukannya dalam kalangan kamu melainkan kehinaan di atas dunia, dan pada Hari Kiamat mereka akan diazab dengan seberat-berat azab, dan Allah sekali-kali tidak lalai atas apa yang kamu lakukan”
Cuba kita sama-sama perhatikan susunan ayat di bawah, bagaimana Allah Taala menyebut lafaz taqwa secara berturutan dalam tiga perintahNya:
Allah Taala memerintahkan kepada umatNya dengan qisas dalam perkara yang berkaitan dengan pembunuhan. Lalu Allah menjelaskan bahawa hasil daripada pelaksanaan ibadah ini adalah taqwa. Maka datang perkataan taqwa untuk kali pertamanya dalam susunan Firman ini;
“ Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas dalam perkara pembunuhan; orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, perempuan dengan perempuan. Maka, barang siapa yang mendapat keampunan dari saudaranya sesuatu maka, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang dimaafkan) membayar diat kepada yang memaafkan dengan cara yang baik. Yang demikian itu adalah keringanan dari TuhanMu dan suatu rahmat. Barangsiapa yang melampaui batas selepas itu baginya azab yang pedih. Dan bagi kamu pada qisas itu adanya kehidupan wahai orang-orang yang berakal, mudah-mudahan kamu berTAQWA”
Kemudian Allah Taala terus berpindah kepada ayat selepasnya berkenaan dengan perintah berwasiat bagi menjamin kebahagiaan hidup sesebuah keluarga selepas kematian salah seorang ahli keluarga yang dicintai. Maka Allah Taala menyebut lafaz taqwa untuk kali kedua. Allah berfirman;
“ Diwajibkan ke atas kamu apabila seseorang di antara kamu kedatangan tanda-tanda kematian, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan kerabatnya dengan cara yang baik. Ini adalah kewajipan bagi orang yang berTAQWA”
Selepasnya Allah Taala menyebut dalam FirmanNya
“ Wahai orang-orangyang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu berTAQWA”
Maka datang perkataan taqwa untuk kali ketiga pada susunan FirmanNya yang tidak sampai separuh muka surat dan tidak melebihi lima ayat. Begitulah uniknya tertib ayat al-Quran sekaligus membuktikan kemukjizatannya serta menolak dakwaan bahawa al-Quran adalah ciptaan manusia.
Ketiga-tiga perintah Allah Taala dalam ayat yang disebut di atas menghasilkan satu anugerah Allah yang sangat berharga kepada hamba yang taat menunaikannya iaitu anugerah taqwa. Para ulama berkata; dalam memahami susunan ayat-ayat di atas, seolah-olah Allah Taala menginginkan taqwa ini untuk beredar pada tiga peringkat dalam kehidupan manusia.. Pertama; dalam masyarakat sehingga keamanan mampu direalisasikan di dalamnya hasil benih taqwa yang ditanam oleh pemimpin yang melaksanakan perintahNya supaya melakukan qisas dalam hukuman berkaitan pembunuhan dan kecederaan. Kedua; dalam keluarga yang memahami bahwa perintah Allah kepada mereka adalah semata-mata untuk menjamin kebahagiaan rumahtangga di bawah pimpinan ketua keluarga yang bertaqwa kepada Allah. Ketiga; pada individu yang sentiasa berusaha menghayati setiap perintah Allah Taala ke atasnya atas dasar keyakinan yang ada padanya bahawa semulia-mulia manusia di sisi Allah adalah hambaNya yang bertaqwa.
Firman Allah Taala;
“ Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang amat nyata. Tetapi jika kamu menyimpang dari jalan Allah sesudah datang kepadamu bukti yang nyata, maka ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana”
MENUJU ISLAM YANG SYUMUL
DI BAWAH TERAJU KEPIMPINAN ULAMA’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan