Ikuti pesanan berharga ini dari Dr Muhammad Said Ramadhan al-Bouthi Hafizohullah melalui khutbah Jumaat yang disampaikannya:
“ تعالوا بنا نؤمن بربنا ساعة ”
“ Majlis ini - wahai saudara-saudaraku - yang dilakukan samada pada Jumaat-jumaat atau dalam jemaah-jemaah atau pada halaqah-halaqah zikir atau halaqah-halaqah pembelajaran semuanya mempunyai rahsia yang sangat hebat serta memerlukan perbincangan yang panjang. Akan tetapi secara ringkasnya aku menyebut; antara rahsia terpenting dari majlis-majlis seumpama ini adalah menyucikan hati yang berkarat, melembutkan hati yang keras dan menyedarkan hati selepas berada dalam kelalaian. Semuanya tidak akan sempurna melainkan melalui jalan at-talaaqi ( (التلاقيdan at-tanasuh ( (التناصح. Hadis Rasulullallah Sollallahu’alaihiwasallam menyatakan: “ Sesungguhnya hati ini berkarat sepertimana berkaratnya besi” Dalam riwayat yang lain “ sepertimana berkaratnya besi apabila terkena air” Sahabat bertanya apakah cara untuk menyucikannya “ Zikir mengingati Allah dan membaca al-Quran”
Sirah banyak menceritakan keadaan para solihin yang sentiasa berkumpul bersama-sama untuk saling menasihati, berkongsi ilmu dan berusaha mengingatkan diri kepada kematian dan hari kiamat. Ikuti pula kisah-kisah di bawah untuk iktibar kita semua. Semoga kita mampu mencontohi mereka semua dan tergolong dalam golongan hambaNya yang mengingatiNya.
Berkata Sufyan bin ‘Uyainah: “ Aku dan sekumpulan ulama’ dijemput ke majlis Harun ar-Rasyid. Maka kami semua pergi ke majlis tersebut. Ulama’ yang terakhir sampai adalah Fudhail bin ‘Iyadh, masuk dengan keadaan tunduk kepalanya dengan penuh tawadhu’” . Fudhail pun duduk dengan tenang lalu berkata kepadaku; “Wahai Sufyan, mana satukah Amirul Mu’minin”. Aku pun berkata kepadanya; “Ini! Sambil aku mengisyaratkan kepada Harun ar-Rasyid”. Lalu Fudhail melihat kepada Khalifah dan berkata; “Wahai orang yang cantik wajahnya, kamu adalah orang yang diberi kepercayaan oleh umat ini dan meletakkan urusan mereka ditengkukmu, sesungguhnya kamu telah diserahkan satu bebanan yang sangat besar”. Harun ar-Rasyid terus menangis. Khalifah duduk mendengar nasihat-nasihat para ulama’ dan hatinya menjadi lembut dengan majlis ini. Pada penghujung majlis, Khalifah memuliakan para ulama’ yang menjadi tetamunya dengan sedikit hadiah, akan tetapi Fudhail menolaknya. Harun ar-Rasyid bertanya; “Apa yang menjadikan kamu zuhud dengannya wahai Aba ‘Ali”. Fudhail pun berkata kepadanya; “Wahai Amirul Mu’minin, kamu lebih zuhud daripadaku”. Harun berkata; “Bagaimana aku pula yang lebih zuhud daripadamu”. Fudhail menjawab; “Adapun aku sekadar zuhud di dunia yang akan binasa. Adapun kamu zuhud di akhirat yang kekal abadi”.
Umar bin Abdul Aziz biasa mengumpulkan para ulama’ dan mereka akan saling menasihati serta memperingati kematian dan hari kiamat menyebabkan mereka teresak-esak menangis seolah-olah di hadapan mereka ada jenazah. Begitulah tawadhu’nya para solihin yang terdahulu. Wallahua’alam.
“ تعالوا بنا نؤمن بربنا ساعة ”
Sumber;Muhd Syukri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan