Sabtu, 31 Mei 2008

SELAWAT KE ATAS BAGINDA NABI SOLLALLAHU’ALAIHIWASALLAM: MENGAPA KITA SERING TERLUPA???

" Marilah kita tidak lupa untuk sama-sama memperbanyakkan selawat ke atas Baginda Nabi Sollallahu’alihiwasallam"

Di manakah biasanya kita sering mendengar ucapan di atas di ungkapkan? Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, itulah salah satu daripada peringatan dari khatib di atas mimbar Jumaat setiap kali khutbah Jumaat disampaikan. Persoalannya, setakat mana kita sebagai umat Islam mengambil pengajaran? Ataupun sekadar menjadi halwa telinga tetapi amalan berselawat ke atas Baginda Nabi Sollallahu’alaihiwasallam ditinggalkan???

Amat malang bagi umat Islam hari ini apabila mereka gagal menjadikan selawat ke atas Baginda Nabi Sollallahu’alaihiwasallam sebagai wirid harian. Peliknya, mereka mampu menjadikan lagu-lagu nyanyian para artis pujaan mereka sebagai zikir yang tidak pernah dilupakan. Kenapa ya?? Kemudian mengaku dengan mulut; "Aku cinta Allah, aku cinta RasulNya Sollallahuálaihiwasallam"

SYARAT KEPADA CINTA ITU ADALAH SEIRINGAN

Persoalannya, benarkah kita benar-benar sayang kepada Baginda Nabi Sollallahuálaihiwasalam? Sekiranya benar, sudah pasti kita bersedia untuk melaksanakan setiap apa yang diperintahkan oleh Baginda Nabi Sollallahu’alaihiwasallam serta meninggalkan apa yang dilarang oleh Bagida Sollallahu’alaihiwasallam. Sesungguhnya sifat cinta dan sayang kepada Baginda Nabi Sollallahu’alaihiwasallam menjadi satu kewajipan bagi setiap hambaNya yang mengaku beriman kepada Allah sebagaimana yang disebut dalam hadis Baginda Sollahu’alaihiwasallam.

" Cintalah Allah kerana dia melimpahkan nikmatNya kepada kamu, dan cintakanlah Aku(Rasulullah) kerana mencintai Allah, dan cintalah ahli baitku kerana mencintaiku"

Dalam hadis lain Baginda Sollallahu’alaihiwasallam bersabda;

" Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga dia mencintaiku lebih dari dia mencintai ayahnya, anaknya, dan sekalian manusia"

Mencapai kecintaan dari Allah Taala dan RasulNya Sollallahu’alaihiwasallam adalah suatu kejayaan dan anugerah yang sangat besar dari Allah Taala. Inilah matlamat perhambaan kita kepada Allah Taala selama ini. Inilah perkara yang kita idam-idamkan. Mengucapkan dengan mulut " Aku sayang Allah, aku cinta Rasul Sollallahu’alaihiwasallam" memang mudah, tetapi adakah rasa cinta dan sayang ini mendapat perhatian dari Allah Taala dan RasulNya Sollallahu’alaihiwasallam? Adakah apa yang diungkapkan di bibir-bibir kita seiringan dengan amalan yang kita lakukan? Allah Taala dan Rasulullah Sollallahu’laihiwasallam tidak berhajat kepada cinta kita, tetapi kitalah yang sangat berharap untuk memperoleh kecintaan daripada Allah Taala dan Baginda Nabi Sollallahu’alaihiwasallam

Apabila berada pada hari yang mulia ini, marilah kita sama-sama untuk tidak lupa memperbanyakkan selawat dan salam kepada Rasulullah Sollallahu’alihiwasallam. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat ke atas Rasulnya dengan sekali selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh kali selawat. Apakah yang dimaksudkan selawat Allah ke atas hambanya? Selawat Allah ke atas hambaNya ialah kerahmatan dan pengampunan dariNya..
Imam Ahmad, al-Hakim, Imam Baihaqi dan selain mereka pernah meriwayatkan hadis dari Abdul Rahman bin ‘Auf Radiallahu’anha, katanya: " Suatu hari aku telah mengikut Rasululah Sollallahu’alaihiwasallam dan aku melihatnya masuk ke sebuah kebun yang berada di dalamnya pohon kurma. Aku mengikutnya lalu aku mendapati Baginda Sollallahu’alaihiwasalam sedang sujud –sujud di atas tanah-. Aku menunggu Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Nabi memanjangkan sujudnya dan memanjangkannya lagi sehingga aku menyangka roh Baginda Sollallahu’alaihiwasallam telah dicabut oleh Allah Taala. Maka, aku pergi kepada Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam untuk melihat keadaan Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Lalu Baginda Sollallahu’alaihiwasallam mengangkat kepalanya seraya bersabda; " Mengapa kamu wahai Abdul Rahman". Aku berkata: "Engkau meletakkan mukamu di sini sangat lama, aku takut sekiranya rohmu telah dicabut, lalu aku berkata pada diriku; aku tidak akan dapat melihat Rasululah Sollallahu’alaihiwasallam selama-lamanya selepas ini". Baginda pun bersabda " Sesungguhnya telah datang utusan dari Tuhanku lalu dia berkata, hendakkah aku berikan kepadamu satu khabar gembira? Sesungguhnya Allah Taala berfirman kepadamu; sesiapa yang berselawat ke atasmu dengan sekali selawat, nescaya Alah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh kali selawat".

Rasulullah membuktikan kecintaan kepada umatnya sehinggakan Baginda Sollallahu’alaihiwasallam sujud dan meletakkan mukanya yang mulia di atas tanah tanpa hijab. Baginda Sollallahu’alaihiwasallam memanjangkan sujudnya tanda syukur kepada Allah . Mengapa wahai ikhwah dan akhawat sekalian? Bukanlah kegembiraan Nabi Sollallahu’alaihiwasallam kerana selawat ke atasnya, akan tetapi kegembiraan Baginda Sollallahu’alaihiwasallam kerana ganjaran yang dikurniakan ke atas umatnya iaitu balasan selawat Allah Taala ke atas kita sekiranya kita berselawat ke atas Baginda Sollallahu’alaihiwasallam.

Mengungkapkan berbanyak-banyak selawat ke atas baginda adalah salah satu cara untuk menzahirkan perasaan cinta dan sayang kepada Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam. Ramai yang melahirkan rasa tidak puas hati, apabila kita mengadakan majlis-majlis dengan memperbanyakkan di dalamnya selawat memuji Nabi Sollallhu’alaihiwasallam. Apa salahnya melahirkan rasa cinta kita kepada Insan yang diperintahkan oleh Allah supaya mencintaiNya? Suatu hari sahabat bertanya Rasulullah Sollahu’alaihiwasallam; "Mengapa kamu berpuasa pada hari Isnin?", Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam menjawab; "Itulah hari aku dilahirkan"

Semoga Allah menanamkan dalam hati kita perasaan cinta kepadaNya, kepada Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam dan kepada sesiapa yang mencintai Allah dan RasulNya Sollallahu’alaihiwasallam. Amin

Tiada ulasan: