Sabtu, 24 Mei 2008

Tulisan Dr.Sanusi Daeng Mariok

HARAKAH ISLAMIAH: Perlunya ujian…”
Firman Allah SubhanahuWaTaala maksudnya:
“Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga Tuhan sedangkan kamu belum diuji sebagaimana orang-orang yang terdahulu dari kamu yang telah diuji”
PERGERAKAN ISLAM dari dahulu hingga sekarang telah melalui pelbagai detik ; kadang-kadang ia melalui detik cemas yang mencabar keimanan dan menuntut pengorbanan, juga terdapat ketika ia mengalami zaman tenang seolah ‘berseronok-seronok’.
Dari keadaan-keadaan tersebut maka kita perlu merungkai semula tentang strategi, uslub, kedudukan dan masa hadapan pergerakan Islam. Apa yang sangat jelas, sejak Adam alaihissalam hingga kepada Rasulullah Sollallalahualaihiwasallam pergerakan Islam mengalami satu keadaan, iaitu ciri-ciri tribulasi.
Inilah gambaran ciri-ciri perjalanan pergerakan Islam yang paling betul dan wajib pula ianya menjadi ikutan dan diberikan sokongan. Rasulullah Solallallahualaihiwasallam sebagai pembawa risalah yang agung telah mengalami tribulasi yang maha hebat. Pergerakan Islam akan ditentang sengit jika seruannya untuk mendaulatkan Islam sepenuhnya dan setulennya
Tepatlah kata Syed Qutb,
”Kalau Islam menjadi ’ahwal syakhsiyyah’ (urusan peribadi), maka, Pembawa Islam dan Islam tidak ditentang”!
Di sini ada dua keadaan dalam memperjuangkan Islam:
1) Islam wajib diperjuangkan supaya berdaulat kepada umum.
2) Islam juga mesti diperjuangkan secara tribulasi.
Jalan perjuangan Islam penuh dengan ranjau. Tidak mungkin memperjuangkan Islam tetapi senang ‘tidur’.
Telah menjadi fitrah dan sunnatullah bahawa setiap masa dan keadaan akan sentiasa berlaku pertembungan antara hak dan batil. Oleh itu, pejuang tidak perlu merasa kecewa kerana tribulasi yang dihadapi.
Tribulasi seperti inilah menjadi syarat-syarat yang ampuh dalam proses pentamrinan, proses pengkaderan, serta dalam usaha meletakkan nilai dan juga penentu samada seseorang itu pejuang atau penyeleweng.
Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin menyebut:
” Iman dan keimanan pada diri seseorang diibaratkan sebagai akar umbi pada sesuatu pokok sementara taufan adalah tribulasi. Orang-orang yang imannya kukuh dan teguh walaupun dilanda taufan maka sementara waktu ia bergoyang sedikit tetapi selepas itu ia mantap semula malah jauh lebih indah dan hebat dari sebelumnya”.
Sebagai pergerakan aqidah yang menjadi landasan maka, bersama-sama dengan keimanan, sikap serta perhitungan yang teliti juga perlu. Jiwa yang tidak teliti serta kurangnya perhitungan maka pejuang terjebak dan menjadi mangsa kepada suasana dan terus menyeleweng dari tabiat tabii gerakan Islam itu. Kes seperti Hassan Turabi di Sudan yang telah meninggalkan Ikhwanul Muslimin dan menyertai kabinet Numeiri serta tindak tanduk Saudara Anwar Ibrahim dengan slogan ’membaiki dari dalam’ telah menghujahkan realiti tersebut. Imam Khomeini ketika diwawancara dan kenyataan telah disiarkan dalam sebuah majalah di Iraq telah menyebut;
”Sejak jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniyyah sampai sekarang tidak sedikit pejuang Islam yang bangun dan terkorban. Namun begitu, belum pernah mana-mana perjuangan Islam itu benar-benar berjaya”.
Kegagalan-kegagalan tersebut bukannya kerana Islam itu tidak benar atau harakah Islam tidak betul, atau pejuangnya tidak mahu berkorban tetapi ada silap dalam perhitungan dan cara perjuangan. Menurut Imam Khomeini, Islam adalah aqidah maka ianya wajib diperjuangkan di atas tapak aqidah dan adalah sangat mustahil islam itu diperjuangkan di atas tapak-tapak yang lain seperti tapak kebangsaan, kapitalis, sosialis dan komunis. Sebabnya Islam itu sendiri bertentangan dan tidak berkompromi dengan dasar-dasar tersebut dalam perkara prinsip.
Ini adalah satu dasar yang penting seharusnya menjadi perhitungan bagi mengatur langkah pergerakan. Perjuangan tidak di atas tapak aqidah samalah seperti memelihara ayam dan musang.
Sesunguhnya prasyarat ke arah kejayaan pergerakan Islam adalah sangat penting. Di sana ada tiga syarat yang perlu dihitung dan diperhatikan;
1) Mesti ada generasi yang dibentuk oleh harakah secara terperinci.
Pandangan ini jika dilihat dalam Sirah Nabawi adalah sangat penting. Generasi pertama al Jilul awwal yang telah di tarbiah selama tiga belas tahun pada zaman Mekah dengan melalui tekanan-tekanan dan ujian-ujian akhirnya berjaya mendaulatkan satu ummah dalam sebuah Daulah Islamiah di Madinah al-Munawwarah.
Adalah amat tidak mungkin wadah Islam mengharapkan orang-orang lain yang keluar dari wadah bukan Islam untuk memperjuangkan aqidah dan cita-cita Islam.
Kalau-kalaupun ada maka terjadilah lompat-melompat!
Dr. Bapak Muhammad Nasir, seorang pemimpin Islam terkenal di Indonesia menyebut beberapa jalan untuk pergerakan Islam mencapai kejayaan antaranya;
1) Bila keimanan masuk kedalam lubuk hati pemerintah.
2) Apabila keimanan berpindah ke tangan golongan orang-orang yang beriman.
Cara yang pertama adalah mudah tetapi tidak pernah berlaku!
Cara yang kedua adalah realitinya lebih benar sebagai sunnatullah dalam medan gerakan Islam.
2) Keseragaman pandangan terhadap Dinul Islam
Dalam jemaah atau individu semuanya adalah dipandang bermanfaat kerana setiap individu mempunyai kemampuan, keupayaan, kebolehan yang berbeza-beza. Antara sesama individu atau kumpulan mesti ada rasa penghormatan pemikiran dalam masalah-masalah yang tidak menyanggahi prinsip. Masalah besar yang wujud sebagai batu penghalang ialah tentang sempitnya pandangan mereka terhadap tasawwur Islam. Sesetengahnya melihat Islam dalam kacamata ibarat sahaja. Sesetengahnya pula menyokong perjuangan Islam kerana ikut-ikutan atau di atas dasar merajuk mungkin kerana tidak mendapat habuan yang sejati.
Dr. Muhammad Yasir dalam bukunya Fiqhud Dakwah menyebut;
“pendakwah hendaklah menyampaikan seperti mana seadanya jangan dihias-hias atau jangan dipelaga-lagakan kerana Islam itu bukan barangan palsu dan jangan pula disorok-sorok kerana islam itu bukan barang larangan.”.
Selain itu, peribadi pendakwah perlu dijaga jangan sampai menjadi penjual landak dan jangan melandakkan Islam.
Bukan sahaja orang tidak mahu membeli landak yang di jual bahkan orang ramai akan dicabut lari!
3) Berusaha menghapus atau meringankan tribulasi
Tribulasi adalah menjadi faktor penting dalam memantapkan keimanan perjuangan tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi takdir yang melambatkan arah pergerakan Islam itu sendiri.
Banyak bentuk-bentuk tribulasi yang dihadapi-ketidakseragaman dalam pemikiran yang meyakini Islam sebagai ad-Din wad Daulah selain dari tribulasi diluar pemikiran itu sendiri.
Bagaimanakah halangan-halangan ini boleh mempercepatkan arah gerakan?
Begitupun, hakikatnya bahawa perjuangan Islam tidak pernah gagal. Akhirnya adalah menjadi peringatan yang penting samada kita menang atau syahid dan kedua-duanya adalah kemenangan yang besar.
Inilah bentuk tarbiah yang ditanamkan dalam pemikiran generasi yang telah melahirkan satu ummah yang unggul dan mulia kerana Islam
Semoga Allah akan memberkati dan mencucuri kepada kita dengan istiqamah, kekuatan iman, kemantapan sikap dalam mengharungi badai perjuangan terutama dalam saat-saat Islam dan pejuangnya berdepan dengan tribulasi yang menggoyahkan aqidah.
Insyaallah, kemenangan semakin dekat syarat usaha mesti digandakan.

Tiada ulasan: