Ahad, 10 Januari 2010

Isu Nama Allah: PAS Buat Keputusan Tepat!

oleh : amdang81

Bismillahirrahmanirrahim.. Assalamualaikum wbt...

"PAS adakan mesyuarat Khas Lajnah Politik bagi membincangkan isu nama Allah" -itulah antara tajuk utama Harakahdaily beberapa hari lalu apabila isu nama Allah kian hangat dibincang dan diperdebatkan.


YB. Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, isu tersebut bersifat agama, tapi kenapa Lajnah Politik yang dipanggil mesyuarat? Kenapa tidak Majlis Syura Ulama, atau sekurang-kurangnya Dewan Ulama yang berbincang bagi mengeluarkan suatu 'keputusan' berkenaan isu tersebut.



Ramai juga yang melihat PAS terkebelakang apabila puak-puak UMNO sibuk berdemonstrasi membantah penggunaan nama Allah, tetapi PAS dan kebanyakan pimpinannya memilih untuk bersikap berkecuali. Aku percaya ramai yang melihat PAS terperangkap dengan isu Nama Allah tersebut.

Najib pula agak gopoh apabila melihat terdapat sokongan dari golongan Melayu terhadap demonstrasi yang diadakan oleh puak UMNO, telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak dapat menyekat mereka yang mahu mengadakan demonstrasi walaupun pihak polis sudah mengeluarkan kenyataan sebaliknya.

Mengikuti kenyataan Media PAS sebaik sahaja selesai Mesyuarat Lajnah Politik, PAS dilihat terbuka untuk membincangkan isu ini. Bagi PAS, isu ini bukanlah sesuatu yang wajar diselesaikan melalui provokasi atau semberono sahaja.

Tulisan Tuan Guru Presiden PAS pula menunjukkan kematangan akal yang tinggi, bersifat benar tanpa prejudis dan mematuhi lunas-lunas yang dibenarkan dalam agama walaupun isu tersebut dilihat 'merugikan' agama. Sedangkan di sana terdapat ruang dakwah yang lebih besar dalam menerangkan siapa Allah kepada masyarakat bukan Islam. Sudah tentu Islam akan memecahkan kefahaman sempit mereka terhadap Allah yang begitu dan begitu, dengan keEsaan Allah yang sebenarnya. Allah itu Satu.


Kepimpinan PAS melawat sebuah gereja yang diserang dan terbakar

Semua pertanyaan, kegelisahan penyokong dan ahli di bawah terjawab apabila berlaku sesuatu yang diluar jangkaan iaitu peristiwa pengeboman gereja di sekitar Kuala Lumpur. Sehingga akhirnya Najib merasa tertampar sehingga terpaksa 'menafikan' perbuatan tersebut bukan dilakukan oleh UMNO!

Tahniah PAS dan kepimpinan PAS atas suatu sikap matang dan menepati kehendak semasa!

العجلة من الشيطان والتأني من الله

"Sifat terburu-buru itu dari syaitan dan sifat bertenang dari Allah" - maksud Hadis.

Wallahua'lam.

p/s: Kadang kala kita di bawah ni gelisah bukan main, tetapi kita lihat pimpinan ni macam tak reti politik plak. Rupa-rupanya kita ini tidak reti politik. Politik bukan buat kenyataan demi kenyataan, rupanya diam dan senyap itu juga adalah politik!! Tahniah TG Presiden!

Khamis, 7 Januari 2010

Masalah Dewan Bedah ; MB Tidak Boleh ‘Cuci Tangan’

Jabi, SETIU – Menteri Besar Dato’ Ahmad Said dan kerajaan Umno/BN Terengganu, mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas kepincangan perlaksanaan, apa jua projek kerajaan dalam negeri ini.

http://buletinonline.net/images/stories/berita18/drazman.JPGIa termasuk masalah kegagalan dalam menyediakan khidmat dewan-dewan bedah di hospital-hospital seluruh negeri Terengganu, sebagaimana yang didedahkannya baru-baru ini.

”Menteri Besar sebagai Ketua Ekskutif pentadbiran kerajaan mesti bertanggungjawab sepenuhnya, bukan bermakna dia dedahkan (masalah dewan bedah) dia boleh cuci tangan,”kata Ketua Penerangan PAS Setiu, Dr. Azman Ibrahim.


Menurutnya, fakta-fakta yang didedahkan tentang dewan bedah di hospital-hospital seluruh negeri amat mendukacitakan walaupun tidaklah mengejutkan jika diukur dengan prestasi kerajaan BN .



Beliau menegaskan, sehingga kini, rakyat sudah melihat kegagalan demi kegagalan kerajaan yang memerintah dalam membina dan menyiapkan prasarana untuk kepentingan rakyat.

Katanya, masalah kebocoran, serangan hama dan kemudahan dewan bedah yang tidak siap mengikut tempoh serta terbengkalai, bukanlah satu perkara yang remeh.

”Ia melibatkan pembinaan (pada) hampir semua dewan bedah hospital-hospital di negeri Terengganu, ia sesuatu kegagalan yang menyeluruh (total failure),

”Oleh itu, rakyat berhak menyalahkan kerajaan kerana rakyat yang akan menanggung beban kehidupan, sepatutnya pembedahan boleh dilakukan di hospital terdekat, terpaksa pergi lebih jauh,”jelasnya.


Mengulas lanjut, beliau berkata, melalui pengamatan beliau, ada kecenderungan MB Terengganu mendedahkan kegagalan projek-projek kerajaan Umno/BN pada sesi lalu, dengan tujuan mengangkat ‘politik diri sendiri’.

Menurutnya, ia adalah satu ‘trend’ yang jelas kelihatan, kerana pertelingkahan sesama sendiri Umno Terengganu dan kelompok masing-masing akan bersaing menunjukkan kehebatan.

Katanya, tindakan sedemikian tidak menguntungkan rakyat, malah ia akan menambah beban negeri, apabila masalah dewan bedah tidak selesai, dicadangkan pula Institut Jantung dengan mengambilalih satu resort dan belanjanya RM27 juta.

”Setiap kali MB buat pendedahan, akan diikuti dengan cadangan projek baru, sedang projek tersebut tidak termasuk dalam perancangan negeri, dia (Ahmad Said) dedahkan masalah dewan bedah hospital, lepas tu cadang tubuh sebuah Institut Jantung,

”Kos akan bertambah, nak menyelesaikan masalah dewan bedah sudah pasti dengan kos tertentu, kemudian tambah RM27 juta untuk buat Institut Jantung, sedangkan resort tersebut bukan untuk rakyat biasa,”ujar Dr. Azman.

Justeru beliau berharap, kerajaan dapat menyelesesaikan masalah-masalah yang timbul dengan melihat secara dekat, kepentingan dan manfaat untuk rakyat.

Beliau berkeyakinan, rakyat bersetuju sekiranya kerajaan membelanjakan jutaan ringgit wang untuk melengkapkan prasarana kesihatan rakyat.

”Saya yakin rakyat tidak akan mempertikaikan apabila kerajaan membelanjakan wang yang banyak demi melengkapkan hospital dengan peralatan termoden kerana hasilnya adalah untuk kemudahan rakyat dan duit yang dibelanjakan juga adalah duit rakyat,

”yang dipertikaikan adalah pembaziran pada perkara yang tidak perlu. Sebagai contoh, ratusan juta untuk Monson Cup, ratusan juta untuk Taman Tamaddun Islam dan Masjid Kristal,”katanya.

Beliau turut meminta Ahmad Said dan kerajaan Umno/BN Terengganu memberikan penjelasan mengapa dipilih sebuah resort di Kijal untuk dijadikan Instutut Jantung.

”Bimbang nanti orang kata, buat Institut Jantung, bawa pakar jantung, untuk rawat MB, kerana dekat dengan rumah MB,”tambahnya.

buletin online

Rabu, 6 Januari 2010

Siasatan Enjin Jet Hilang: Mungkin Fakta Dan Bukti Juga Dihilangkan

Pengumuman yang di buat oleh Peguam Negara tentang hasil siasatan yang di buat oleh Polis sangat tidak meyakinkan malah sangat meragukan.

Peguam Negara menyatakan tidak ada Pegawa
i Kanan atasan TUDM yang terlibat dengan kehilangan enjin jet F5E, katanya yang terlibat hanya Pegawai Rendah sahaja.

Persoalannya ialah adakah kehilangan enjin jet hanya membabitkan Pegawai Rendah dan anggota biasa sahaja?

Ini bukan kehilangan spare part di kedai baiki kereta yang boleh seorang pormen boleh masukan barang dalam poket dia dan keluar dari kedai tersebut untuk jual di pasaran gelap.



http://buletinonline.net/images/stories/berita17/ne_02.2.jpgKalau spare part kedai baiki motor hilang boleh lah di katakan tauke tak tahu ini enjin jet dan bukannya boleh di junjung di atas bahu seorang prebet cabuk TUDM, melainkan mesti satu pakatan yang cukup bersetrategi.

Ingin saya nyatakan berkaitan siasatan Polis yang di umumkan oleh Peguam Negara bahawa tiada penglibatan Pegawai Kanan atasan sangat meragukan.

Tempoh masa yang panjang setahun 4 bulan bermula dari Ogos 2008 untuk siasatan dan tolak menolak antara Peguam Negara dan PDRM memungkinkan sebagai satu strategi untuk memadam dan menghilangkan bahan bukti dan fakta kes yang membabitkan Pegawai Kanan atasan TUDM dan penglibatan politik di KEMENTAH dan Kerajaan.

Bukti yang jelas dalam kes kematian Altantuya ialah dokumen perjalanan masuk ke Malaysia yang sepatutnya berada dalam simpanan Imegresen telah di hilangkan.

Begitu juga dalam kes kehilangan enjin jet ini. Kenyataan awal yang di buat oleh Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera bahawa ada pegawai pangkat Bregedia Jeneral dan berbagai pangkat telah di ambil tindakan di berhentikan kerana terlibat dalam kes ini tetapi kemudian di nafikan dengan kenyataan mengatakan mereka di berhentikan kerana kes yang lain. Ini menunjukkan ada sesuatu yang cuba di sembunyikan.

Saya mencabar Perdana Menteri jika benar beliau menyatakan kerajaan tidak hendak menyembunyikan apa-apa dalam kes ini, beliau mesti berani menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk mengendalikan siasatan dalam kes kehilangan enjin jet atau pun sekurang-kurangnya memanggil segera sidang khas Parlimen dan membawa satu usul pembentukkan Jawatankuasa Siasatan Bebas di bawah Parlimen.

Jika tidak saya menganggap siasatan yang di umumkan oleh Peguam Negara adalah satu konspirasi antara PDRM, TUDM, AG dan BN untuk memangsa dan mengkambing hitamkan Pegawai Rendah TUDM bagi menyelamatkan kepentingan politik BN bukan sahaja dalam kes ini tetapi dalam isu pembelian dan penjualan keperluan dalam industri Pertahanan yang melibatkan amalan rasuah dan penyelewengan pemimpin BN.

DATUK HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Naib Presiden PAS.

buletin online

Jumaat, 6 November 2009

Isu Dr Asri : Antara Yang Hak Dan Yang Batil

copy paste : tahu,faham & amal

Sahabat saya (abang lan) meminta mengulas mengenai isu ini. Di dalam akhbar heboh menceritakan mengenai penangkapan Dr Asri oleh JAIS kerana memberikan ceramah atau kuliah agama tanpa tauliah dan sebelum kejadian itu pula terdapat memorandum yang dihantar oleh NGO Islam yang ditandatangani antaranya oleh :

Badan-Badan Bukan Kerajaan Yang Menyokong Memorandum ini –

1. Persatuan Pegawai-Pegawai Syariah Malaysia

2. Yayasan Sofa Negeri Sembilan

3. Yayasan Jenderami

4. Pertubuhan Muafakat Masyarakat Sejahtera (MUAFAKAT)

5. Persatuan Peguam Syarie Malysia

6. Persatuan Peguam Muslim Malaysia

7. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

8. Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)

9. Jemaah Islah malaysia (JIM)

10. Persatuan Ulamak Malaysia

11. Yayasan Paksi Kedah

12. Persatuan Ulamak Kedah

13. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)



Mengenai tauliah ada juga yang bertanya, mengapa mengajar agama perlu ada tauliah ? Bagi saya Islam mengajar kita kaedah : mencegah lebih baik dari merawat, dan ia adalah sebahagian dari usaha jabatan-jabatan agama untuk menjaga kemaslahatan ammah. Ia bagi mengelakkan orang yang tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya mengajar ajaran yang menyeleweng walaupun atas dasar beliau ada PhD sekalipun atau bekas mufti.

* Setelah saya memeriksa di Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah, rupa-rupanya Negeri Perlis juga menjalankan tindakan yang sama terhadap mereka yang tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama. Iaitu :


"KESALAHAN-KESALAHAN DI BAWAH ENAKMEN JENAYAH DALAM SYARAK 1991 NEGERI (Perlis)":-

Bilangan: 29 Seksyen: 33- Kesalahan: MENGAJAR AGAMA TANPA KEBENARAN:- Hukuman: Denda RM1,000 @ Penjara 6 bulan @ kedua-duanya

Bil: 30 Seksyen: 34*- MENGAJAR @ MENJALANKAN SESUATU ISTIADAT YANG BERTENTANGAN DENGAN HUKUM SYARAK YANG DIAMALKAN DI NEGERI PERLIS Hukuman: Denda RM5,000 @ Penjara 3 tahun @ kedua-duanya

* Boleh tangkap tanpa waran

[dinukil dari http://islam.perlis.gov.my/index_files/penguatkuasa.htm ]


Persoalan : Semasa Dr Asri menjadi mufti di Perlis beliau juga pernah menghalang tiga tokoh Ulama Mazhab Syafie dari Yaman untuk memberikan ceramah tanpa tauliah. Oleh itu, mengapa Dr Asri sendiri tidak dapat mengikut undang-undang di negeri lain pula ?

Zaman ini, ramai yang mengaku pendokong al Quran dan sunnah tetapi salah ajaran. Malahan ada yang mentafsirkan al Quran mengikut aqal sendiri seperti laman blog yang merbahaya ini : Http://manatuhanallah.blogspot.com. Sekiranya dibenarkan siapa sahaja mengajar tanpa tauliah yang khusus, Ayah Pin, Anti Hadith, Ajaran Kahfi pun boleh menyampaikan fahaman mereka. Maka apa akan jadi pada pemahaman rakyat jelata ?

Jadi sementelahan hanya mendengar banyak pihak yang menyokong Dr Asri, mengapa pula kita tidak mendengar penjelasan JAIS mengenai penahanan beliau ?

Bagi mereka yang sudah banyak mendengar penjelasan dari Dr Asri mengenai memorandum yang dihantar oleh NGO Islam di youtube. Maka saya juga ingin mengajak mereka yang benar-benar inginkan kebenaran agar menilai pula pandangan sisi lain mengenai Dr Asri selama ini. Sila Klik :

1. Hakikat Sebuah Kebenaran : Tugas Membela Mufti Yang Difitnah

2. Wahai Dr Asri Tolong Jangan Memperlekehkan Ulamak

3. Sheikh Nuruddin Al Banjari Menjawab Isu Hadith Musalsal Bil Musafahah Yang Dibangkitkan Oleh Dr Asri

4. Belajar Menyelidik Sebelum Terima Bulat-bulat Dan Menghukum

5. Tanggapan Kembara Ilmu Ke India - DR MAZA

6. Mereka (Kristian) Hendak Menggunakan Kalimah ALlah ?

7. Sanggahan Pengikut Imam Abu Hasan Al Asy'ari Terhadap Dakwaan Dr Asri

8. Komen Terhadap Artikel Islam : Antara Nas Dan Pendapat Tokoh

9. Komen Terhadap Artikel "Islam Antara Nas Dan Pendapat Tokoh" (Dr Asri)

10. Dr Asri Perlu Ditakdibkan (diperadabkan) - Ketua Pengarah Jakim

11. 'Krisis' Agama Rugikan Umat

Isu ini masih belum selesai, dan saya dapati Dr Asri meraih simpati oleh ramai tokoh politik malahan juga ilmuwan agama. Walaubagaimanapun, saya percaya yang hak tetap akan datang, dan yang batil akan padam jua.

Semoga terbukalah minda dan mata hati. Nilaikan dengan neraca kebenaran, bukan dengan taksub dan taqlid buta. WaLlahua'lam.

p/s: dalam berbicara isu yang masih hangat ini, jangan dilupa ada perkara yang lebih besar Umat Islam di Malaysia yang perlu diutamakan.