Isnin, 28 Julai 2008

"JANGAN KAMU MENZALIMI DIRI KAMU SENDIRI DALAM BULAN-BULAN ITU……"

Malas rasanya untuk menulis dalam ruangan Soutud Dakwah kali ini. Jari-jemari seolah-olah tidak mahu memberi kerjasama yang baik dengan idea yang sedang bermain dalam fikiran untuk menaip setiap patah perkataan sebelum menjadi ayat-ayat lengkap sebagai tatapan para pembaca. Umpama anak dara yang malu-malu kucing lantas menundukkan kepala apabila wajahnya ditatap oleh insan yang berlainan jantinanya. Mungkin kerana sejak kebelakangan ini, isu tulisan-tulisan ‘pedas’ antara yang menjadi topik perbualan hangat di ‘kedai-kedai kopi’ sekitar sini.

Sesuatu tulisan memang begitu. Boleh timbulkan pelbagai reaksi; senyum, menangis; gembira, sedih; marah, kecewa dan bermacam-macam reaksi yang lain. Kadang-kadang satu tulisan yang sama mampu timbulkan dua reaksi berbeza dari pembaca yang berbeza. Ada pro dan kontranya. Kadang-kadang satu tulisan yang sama mampu timbulkan pelbagai reaksi yang berbeza dari pembaca yang sama. Alangkah indahnya sekiranya dengan tulisan yang dihasilkan mampu mengubati kembali luka-luka di hati akibat tusukan pena yang terlalu tajam tanpa mengenal lawan mahupun kawan. Apatah lagi ketika kita semua sedang menghadapi Rejab yang dilimpahi keberkatan, menantikan kehadiran Syaa'ban yang dipenuhi kerahmatan sambil menyiapkan diri untuk menghadapi Ramadhan yang sentiasa dirindui kehadirannya.

“ Ya Allah, berkatilah kami sepanjang Rejab dan Sya’ban, dan panjangkan umur kami untuk merasai nikmat mengabdikan diri kepadaMu di bulan Ramadhan

Setiap manusia tidak terlepas dari dosa dan kesilapan kecuali hambaNya yang dipilih dalam kalangan Para Rasul dan Para Malaikat 'Alaihimussolatuwassalam. Kesilapan itu mungkin dilakukan melalui i'tikad/kepercayaan yang salah, perbuatan, perkataan bahkan melalui tulisan seperti ini. Allah Taala dengan sifat Rahman serta RahimNya sudi menerima taubat hambaNya yang memenuhi syarat-syarat dalam bertaubat. Manusia yang menyedari kelemahan diriNya akan sentiasa tunduk memohon keampunan kepada Allah Taala. Sekiranya Rasul Sollallahu'alaihiwasallam yang ma'sum sentiasa melazimi istighfar kepadaNya, bagaimana pula dengan kita yang sentiasa tidak terlepas dari dosa dan kesilapan kepada Allah Taala? Sabda Nabi Sollallahu'alaihiwasallam;

" Setiap anak Adam mesti melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang membuat salah itu ialah orang yang bertaubat"

Firman Allah Taala;

" Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang yang beriman, mudah-mudahan kamu mendapat kerahmatan"

Allah Taala yang bersifat Maha Pengampun lagi Maha Penyayang menawarkan kepada mana-mana hambaNya untuk diberi keampunan kepada mereka. Bahkan diriwayatkan dari Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam bahawa Allah Taala turun ke langit dunia pada waktu sepertiga malam untuk mendengar munajat hambaNya yang benar-benar ikhlas memohon keampunan serta menunaikan permintaan hambaNya yang beriman.

Perhatikan rangkaian ayat-ayat suci al-Quran, ketika Allah Taala menyebut mengenai istighfar dan taubat, apakah intipati yang mampu diambil dari susunan-susunan kata dari Kalam yang Mulia ini? Allah Taala menjadikan keimanan sebagai syarat terpenting penerimaan taubat dari hambaNya. Tanpa iman, setiap amalan kebaikan yang dilakukan, begitulah taubat kepadaNya diumpamakan sebagai debu yang berterbangan. Firman Allah Taala;

" Orang-orang yang mengucapkan doa; wahai Tuhan sesungguhnya kami beriman, maka ampunkan dosa kami dan jauhkanlah kami dari azab api neraka"

" Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar seruan keimanan; berimanlah kamu kepada Tuhanmu! Lalu kami beriman. Wahai Tuhan kami, oleh sebab itu, ampunilah dosa kami dan hapuskanlah kesalahan kami serta wafatkan kami dalam kalangan orang-orang yang membuat kebaikan"

" Sesungguhnya Allah Taala tidak akan mengampunkan dosa orang yang syirik kepadaNya dan Dia mengampunkan dosa selain dari yang demikian itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa yag syirik kepada Allah sesungguhnya dia telah sesat dengan sesesat-sesatnya"

Para ulama' membincangkan; adakah taubat cukup sekadar dengan mengakui keimanan dengan lisan tanpa ketaatan kepadaNya atau keimanan tersebut mesti diikat dengan ketaatan kepada Allah? Ramai yang beranggapan bahawa kita tidak perlu takut untuk melakukan kesilapan kerana umat Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam adalah umat yang dirahmati serta dinaungi keampunan dari Allah Taala. Anggapan yang silap sama sekali!!! Ketahuilah wahai saudaraku, sesungguhnya tidak ada makna mengharap keampunan dari Allah dalam keadaan hati kosong dari 'ubudiyyah kepada Allah. Bagaimana seorang yang tidak pernah terdetik untuk melakukan amal kebaikan dan ketaatan mampu mengharapkan keampunan dari Allah Taala? Khawatim al-Baqarah menjadi jawapan kepada persoalan ini. Firman Allah Taala;

" Rasul itu beriman dengan apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, begitu pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, dan utusan-utusanNya. Kami tidak membezakan di antara utusan-utusan itu. Dan mereka mengatakan: Kami dengar dan kami taat. Ampunilah kami wahai Tuhan kami dan kepadaMu tempat kembali "

Mesti ramai yang bertanya; apakah kaitan Rejab dengan istighfar, memohon keampunan kepada Allah secara khusus? Allah Taala mengaitkan mengenai bulan Rejab dan 3 'ash-hurul hurum' yang lain dengan kesilapan yang dilakukan manusia ke atas dirinya sendirinya melalui firmanNya dalam ayat ke-36 surah at-Taubah. Firman Allah Taala;

" Sesungguhnya jumlah bulan pada sisi Allah Taala ialah dua belas bulan dalam ketetapan Allah sejak hari Dia mencipta langit dan bumi. Antaranya empat bulan yang suci. Itulah agamamu yang betul. Janganlah kamu menzalimi diri kamu sendiri dalam waktu itu…."

Ruangan Suara Dakwah kali ini sengaja untuk tidak memanjangkan perbincangan mengenai ayat ini. Rajin-rajinkanlah merujuk huraian para ulama'. Dengarlah huraian para 'masyayeikh' kita mengenainya. Cubalah untuk membelek kitab-kitab tulisan ulama'-ulama' terdahulu serta ulama'-ulama' 'mutaakhirin' yang menyentuh secara khusus isu-isu yang berkaitan dengannya. Ada masa, cubalah untuk meneliti ayat ke-237 dari surah al-Baqarah. Semoga kita mampu mendapat mutiara berharga darinya sebagai bekalan untuk menghadapi hidup hari ini yang dipenuhi dengan pelbagai fitnah. Al-Quran sebagai panduan, Hadis sebagai rujukan.

BIRO DAKWAH KPT 07/08

Tiada ulasan: