Khamis, 11 Disember 2008

Islam Sebagai Ad-Din

KEMBALI KEPADA ISLAM YANG SYUMUL

Sesungguhnya nikmat yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada hambaNya sangat banyak. Akan tetapi, tidak didapati satu nikmat yang diberi oleh Allah Tala kepada hambaNya dan tidak ada suatu anugerah yang paling agung yang dikurniakanNya sebagai tanda sayang dan cinta kepada hamba pilihanNya, seumpama nikmat yang disebut dalam firmanNya;

“ Dan hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku sempurnakan bagi kamu nikmatKu, dan Aku meredhai bagi kamu Islam sebagai cara hidup..”

Sekiranya kita perhatikan uslub yang digunakan dalam ayat ini, nescaya kita akan mendapati dari ayat ini satu keajaiban. Keajaiban dari tanda-tanda mahabbah Allah kepada hamba-hambaNya ketika mana Dia berfirman kepada mereka; Sesungguhnya Aku mencintaiMu dan bagi kamu pakaian ini, Aku meredhai bagi kamu manhaj dan gaya hidup ini. Tidak aku dapati apa yang lebih baik dari itu untuk kemaslahatan hidupmu, maka Aku suka untuk mengurniakannya kepada kamu. Aku telah memilih antara setiap jalan-jalan, manhaj-manhaj, wasilah-wasilah; tidak Aku dapati satu jalan pun yang akan membahagiakan kamu melainkan jalan ini; JALAN ISLAM. Kemudian Allah berfirman; “ Dan aku menyempurnakan bagimu nikmatKu”. Bermakna, setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah itu masih belum lengkap sepenuhnya samada nikmat harta, kesihatan, ilmu, dan lain-lainnya; semua itu masih belum sempurna melainkan ianya disempurnakan dengan satu nikmat agung. Maka Allah mendatangkan bagi kamu nikmat Islam, lalu sempurnalah bagi kamu segala nikmat kurniaanNya.




Semoga kita semua bersyukur serta memahami bahawa sesungguhnya keredhaan Allah dengan agama ini bukanlah untuk faedah dan keuntungan yang akan diperoleh bagi ZatNya yang Mulia. Maha suci Allah dari kefahaman seumpama ini. Segala nikmat yang dikurniakan olehNya adalah semata-mata untuk kebaikan dan kebahagiaan hambaNya dunia mahupun akhirat. Sebagaimana ketaatan hambaNya tidak akan memberi manfaat untuk ZatNya yang Maha Agung, begitulah kemaksiatan tidak sekali-kali akan menjejaskan kemuliaan dan ketinggianNya.

Hari ini, sebagaimana yang kita semua ketahui, masyarakat berada dalam mimpi-mimpi yang tampak indah pada zahirnya, palsu pada hakikat sebenarnya. Berangan-angan untuk mengejar kemajuan tanpa ada panduan yang menunjuk jalan. Masing-masing pening untuk menyelesaikan masalah yang melanda diri. Adakah mereka tidak pernah terfikir untuk menggunakan Islam sebagai wasilah terbaik untuk menyelesaikan segala masalah ini? Adakah mereka tidak meyakini bahawa sesungguhnya segala krisis-krisis yang melanda alam ini samada krisis ekonomi, masyarakat, keilmuan, kemajuan hanya mampu diubati dengan satu penawar iaitu penawar Islam?

Sungguh janggal dan pelik wahai saudara-saudaraku sekalian Muslimin, umat Islam yang membaca Kalamullah ini, menyaksikan tanda mahabbah Allah Taala dengan nikmat yang agung ini; tiba-tiba berpaling dari cahaya Islam serta tidak menjadikannya sebagai panduan utama yang memandu kehidupan. Sungguh ajaib kelakuan manusia. Mengetahui adanya penawar mujarab bagi menyelesaikan penyakit tetapi masih sibuk bersidang dan berbincang pelbagai teori untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan menjadikan hawa nafsu dan syaitan sebagai penasihat nombor satu mereka. Yakinlah, urusan kita semua samada ekonomi, politik, kemasyarakatan, kemajuan, keilmuan hanya mampu diuruskan oleh Islam.

Ayuh wahai sekalian umat Islam, sahutlah seruan dari Allah Taala. Jadikan Islam sebagai cara hidup anda.

“ Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang amat nyata”

Ahad, 7 Disember 2008

Hari Arafah- 9 Zulhijjah

HARI–HARI BERSEJARAH DALAM KALENDAR UMAT ISLAM

Umat Islam berada di bulan yang penuh barakah. Bulan Zulhijjah. Antara masa yang ditetapkan oleh Allah untuk hambaNya yang terpilih menjadi tetamunya pada hari yang agung menuju ke tempat yang suci dengan tujuan mengabdikan diri kepadaNya semata-mata. Haji merupakan antara rukun Islam yang paling besar yang terhimpun padanya ibadah-ibadah. Di sana , di tempat yang tersangat mulia, di al-Makkah al-Mukarramah para jemaah berlumba-lumba mengejar kebaikan, kerahmatan, keberkatan yang dijanjikan oleh Allah. Tasbih, takbir, tahmid, tahlil meniti di bibir-bibir mereka. Hati dan lisan dihadapkan kepada Allah sebagai gambaran kegembiraan dan kesyukuran yang tinggi kerana terpilih menjadi tetamuNya.

Ketahuilah wahai sekalian umat Islam!!! Hari-hari itu adalah hari-hari yang penuh bermakna. Hari dibukanya pintu langit, dilimpahkan kerahmatan, dan dibukanya pintu penerimaan yang seluas-luasnya oleh Allah untuk hambaNya. Tidak ada hari yang lebih banyak rahmat dan berkat, lebih terang cahayanya serta lebih luas penerimaan dari Allah selain dari hari itu. Tidak ada waktu syaitan menjadi terlebih keji, terlampau hina, tersangat kecewa dari hari-hari tersebut kerana kurniaan yang sangat agung dari Allah Taala terhadap hambaNya. Hari yang menjadi titik pembeza kepada umat ini. Hari yang mencorakkan segala perjalanan sirah Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam dan umatNya. Hari yang dimaksudkan itu adalah hari yang penuh dengan keistimewaan; Hari Arafah; Hari Hijrahnya Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam dari Makkah ke Bumi Madinah; Hari Kebangkitan Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam dan Hari Kelahiran Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Hari yang sangat suci dalam perjalanan masa yang ditentukan oleh Allah.


Hari kelahiran Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam; kerana padanya dilahirkan zat Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam dengan rahmat dan cahaya yang menerangi sekalian alam. Kelahirannya menjadi noktah yang membezakan antara cahaya dan petunjuk, antara yang benar dengan yang salah. Manusia dikeluarkan dari era kejahilan menuju era kejayaan yang dipandu oleh ketamadunan Islam. Berpindahnya ‘Qiadah Basyariah’ dari Bani Israil kepada umat Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam; memikul tanggungjawab untuk menyebarkan cahaya agama Allah ke sekalian alam.. Hari yang menghubungkan antara langit dan bumi. Masing-masing bergembira. Ketika inilah manusia mula dihubungkan kepada Tuhan, cahaya hidayah diperbaharui dan lahirnya penutup bagi sekalian Rasul ‘Alaihimussolatuwassalam. Rasul yang membawa bersamanya rahmat. Melaluinya seluruh umat mendapatkan syafaat. Tidak lupa, selawat dan salam untuk junjungan kita Nabi Muhammad Sollallahu’alaihi wa aalihi wa sallam.

Berlalunya masa. Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam membesar di bawah tarbiyyah Ilahi. Segala gerak geri Baginda Sollallahu’alaihiwasallam berada di bawah jagaan Allah Taala. Segala kehidupannya dicorakkan olehNya. Begitulah peribadi Insan yang agung. “Tuhanku mendidikku dengan adab yang mulia, dan adabku adalah adab yang terbaik”. Pengakuan yang terbit dari lisan hambaNya yang benar dan dibenarkan. Akal, nafsu, hati dan ruh Baginda Sollallahu’alaihiwasallam disempurnakan melalui didikan ar-Rahman. Apabila lengkap semua persiapan, tibalah Hari Baginda Sollallahu’alaihiwasallam dibangkitkan sebagai Pesuruh Allah dan Penutup Sekalian Rasul. Datangnya wahyu yang agung melalui Ruhul Amin, Jibril ‘Alaihissalam. Fasa kedua yang menjadi penyuluh kepada penyebaran cahaya Allah ke sekalian alam. Dibina padanya asas yang teguh dan kukuh. Tiada sesiapapun yang mampu meruntuhkannya. Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam sebagai pembawa berita gembira, pemberi peringatan dan penyeru ke arah kebenaran.

“ Dan tidaklah diutuskan Engkau Wahai Muhammad melainkan sebagai pembawa rahmat untuk sekalian alam”

Dakwah Islam bermula secara sembunyi. Kemudian turunnya wahyu memerintahkan supaya dakwah dijalankan secara terang-terangan. Bermulanya era dakwah di kota Mekah tempat kelahiran Baginda Sollallahu’alaihiwasallam dengan penuh mencabar. Tekanan dan penyeksaan kepada umat Islam diberikan oleh kaum Quraisy yang membenci ajaran yang dibawa oleh Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Lalu Allah Taala memerintahkan pesuruhNya Sollallahu’alaihiwasallam supaya memulakan era baru dalam siri perjalanan dakwah menyebarkan dan mengukuhkan agama Islam. Bermulanya era penghijrahan Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam dari Mekah ke Madinah. Siri ketiga yang merupakan suatu pedoman Ilahi dalam siri pembinaan masyarat Islam yang penuh tamadun meninggalkan jahiliyyah yang ketinggalan dan penuh penindasan. Berbeza tempat dan berbeza cara penerimaannya. Dari tentangan dan tekanan dari musuh yang membenci kepada bantuan dan pertolongan para pembantu agama Allah yang sangat mencintai. Terbinalah masyarakat Islam yang pertama di bawah panduan dari Rasul yang mendapat didikan terus dari Allah Taala. Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam meninggalkan asas-asas penting untuk umatnya bagi membentuk diri, keluarga dan masyarakat yang diredhai Allah. Hampir sempurnalah agama yang dibawa oleh Baginda Sollallahu’alaihiwasallam.

Tibalah masa yang ditetapkan oleh Allah Taala bagi menyempurnakan risalah yang dibawa oleh PesuruhNya Sollallahu’alaihiwasallam. Hari Arafah. Hari ketika berhimpunnya ratusan ribu umat Islam yang sama-sama menunaikan haji bersama Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam. Umat Islam berhimpun mendengar amanat terakhir yang disampaikan oleh Rasulullah Solallahu’alaihiwasallam. Hari yang diselangi antara kegembiraan dari sebahagian sahabat dan kesedihan dari sahabat yang sangat memahami maksud wasiat terakhir yang disampaikan oleh Baginda Solallahu’alaihiwasallam. Hari itulah lengkapnya risalah yang dibawa oleh Baginda Sollallahu’alaihiwasallam, sempurnalah agama Islam dan Allah Taala meredhai Islam sebagai agama yang akan mencorakkan segala kehidupan umat manusia.

“ Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku menyempurnakan nikmatKu dan aku meredhai Islam sebagai cara hidup”

Rabu, 3 Disember 2008

Kisah lelaki yang menziarahi saudaranya kerana Allah Taala

Daripada Abu Hurairah Radiaallahu’anhu, dari Nabi Sollallahu’alaihiwasallam;

“ Sesungguhnya seorang lelaki telah menziarahi saudaranya di kampung lain. Maka Allah Taala menghantar malaikat untuk mengintip perjalanannya. Apabila lelaki itu melalui jalan yang ditunggui oleh malaikat itu, malaikat itu bertanya; Ke mana kamu ingin pergi? Dia berkata: Aku ingin pergi bertemu saudaraku di kampung ini. Malaikat bertanya; Adakah bagi kamu ada apa-apa tujuan daripada nikmat yang akan kamu perolehi darinya? Lelaki itu menjawab: Tidak, melainkan kerana aku menyayanginya kerana Allah Taala. Lalu malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku merupakan utusan Allah kepadamu untuk menyampaikan bahawa Allah Taala menyayangimu sebagaimana kamu menyayangi saudaramu keranaNya”

(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Birr ,

Bab pada menyatakan kelebihan cinta kerana Allah)




Kesimpulan cerita

Nabi Sollallahu’alaihiwasallam menceritakan kisah seorang lelaki yang keluar dari rumahnya menuju ke perkampungan lain yang tidak dinyatakan jarak antara dua kampung tersebut. Akan tetapi daripada gaya bahasa hadis, lelaki itu berjalan kaki dalam satu masa yang panjang dalam perjalanannya antara dua kampung tersebut. Dia telah keluar dengan niat yang satu iaitu ziarah. Bukanlah kerana menziarahi adik beradik ataupun sanak saudara, bahkan menziarahi saudaranya semata-mata kerana Allah Taala. Maka Allah Taala mengutuskan malaikat – dalam rupa lelaki- dalam perjalanannya untuk mengintip dan menunggunya. Apabila dia melalui tempat malaikat menunggunya, malaikat itu pun bertanya arah tujuannya. Lelaki itu menyatakan tujuannya ke kampung itu untuk menziarahi saudaranya kerana Allah. Malaikat menimbulkan persoalan kepadanya adakah ziarahnya untuk tujuan dunia seperti perniagaan ataupun kerana mempunyai hubungan kerabat dengan saudaranya tersebut. Lelaki itu menafikannya, bahkan menegaskan bahawa ziarahnya adalah semata-mata kerana Allah tanpa ada sedikitpun tujuan duniawi.

Selepas perbualan ini, malaikat memberitahu hakikat sebenar dirinya sebagai utusan Allah yang berupa seorang lelaki. Lalu malaikat memberi satu khabar gembira kepadanya bahawa Allah Taala mencintainya kerana dia mencintai saudaranya kerana Allah Taala semata-mata..

* Ulama’ berkata; Mahabbah Allah Taala kepada hambanya ialah rahmatNya kepadanya, redha dariNya, Allah Taala menghendaki untuk hambanya kebaikan.

**Asal mahabbah dalam perbuatan manusia adalah cenderung hati, akan tetapi Allah Taala suci dari perkara tersebut.

Pengajaran

Cerita ini memberi satu gambaran makna yang sangat tinggi yang perlu dimiliki oleh umat pada setiap zaman dan masa.. Ukhuwwah kerana Allah Taala adalah setinggi-tinggi dan semulia-mulia hubungan yang dibina. Ukhuwwah merupakan ruh keimanan yang hidup dan perasaan dalaman yang lahir dalam lubuk hati orang yang beriman terhadap saudaranya. Seolah-olah mereka ini merupakan ruh yang satu yang hidup dalam jasad yang berbilang. Menyuburkan ukhuwwah merupakan kaedah terbaik sebagai permulaan bagi seluruh umat Islam untuk tolong-menolong ke arah kebaikan. Bahkan ukhuwwah yang dibina seumpama ini menjadikan diri para muslimin untuk berpegang teguh dengan agama Allah dan berusaha untuk menjadi rijal-rijal yang akan mendaulatkan agama Allah sehingga Allah menjadikan kalimah kufur itu berada di bawah di tempat yang sangat hina. Maka, terbinalah satu keyakinan bahawa Kalimah Allah itu sentiasa berada di tempat yang tertinggi di bawah jaminanNya.

Wallahua’alam.

“ Dan masyarakat Islam sangat berhajat kepada ukhuwwah para mu’min, dan rijal-rijal yang saling menyayangi, dan pemuda-pemuda yang ikhlas berjuang. Mereka memikul pada diri mereka makna yang tinggi terhadap perasaan sayang, keikhlasan dan menunaikan janji dengan harapan daulah Islam yang hilang akan dikembalikan, kemuliaan para muslimin akan dikembalikan; dan yang demikian itu bagi Allah adalah Maha Berkuasa dan Maha Perkasa

(Abdullah Nasih ‘Ulwan: Ukhuwwah Islamiah)

Selasa, 2 Disember 2008

Zulhijjah

Mengingati Abul Anbiya’ Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam bersempena Ibadah haji yang disyariatkan kepada umat Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam

Sedarkah kita, ketika Allah Taala menceritakan kisah berkaitan dengan ibadah haji, Allah Taala mengaitkannya dengan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ibrahim ‘Alaihimassalam? Perhatikan ayat-ayat al-Quran di bawah bagaimana Allah Taala mengaitkannya dengan Nabi Ibrahim dan anaknya ‘Alaihimassalam;

Firman Allah Taala;

“ Dan apabila Ibrahim(‘Alaihissalam) diuji oleh Tuhannya dengan kalimah-kalimahnya lalu Ibrahim (‘Alaihissalam) menyempurnakannya. Allah berfirman; sesungguhnya Aku akan menjadikan imam bagi seluruh manusia. Ibrahim (‘Alaihissalam) berkata; dan dari keturunanku juga. Allah Taala menjawab; Janji Allah tidak akan sekali-kali mengenai orang-orang yang berbuat kezaliman. Dan (ingatlah) ketika kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim(‘Alaihissalam) sebagai tempat solat. Dan telah kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail(‘Alaihimassalam); bersihkanlah rumahKu untuk orang-orang yang tawaf, yang I’tikaf , yang rukuk dan yang sujud”

( al-Baqarah: 124-125)




Kemudian Allah berfirman lagi;

“ Dan ingatlah ketika Ibrahim(‘Alaihissalam) meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (‘Alaihissalam) ( seraya berdoa); Ya Tuhan kami terimalah dari kami (amalan kami), sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha mengetahui”

(al-Baqarah: 126)

Firman Allah Taala lagi;

“ Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk tempat beribadah ialah ialah Baitullah di Bakkah( Mekah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi manusia. Padanya ada tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) Maqam Ibrahim(‘Alaihissalam). Barangsiapa yang memasukinya nescaya dia akan aman. Menunaikan haji itu adalah satu kewajipan bagi manusia terhadap Allah Taala, iaitu bagi sesiapa yang mampu untuk ke Baitullah. Baransiapa yang kufur, maka sesungguhnya Allah Taala itu Maha Kaya dari semesta alam”

(ali-‘Imran: 96-97)

Ayat-ayat yang disebut di atas menunjukkan kepada kita dengan terang lagi bersuluh bagaimana Allah Taala mengaitkan Baitullah yang mulia dengan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail ‘Alaihimassalam. Seolah-olah di sana Allah Taala mengisyaratkan kepada umat Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam supaya tidak melupakan jasa dan pengorbanan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam kepada kita semua. Maka tidak hairanlah dalam Tasyahhud akhir, Allah Taala mengaitkan antara Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam dengan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam ketika disyariatkan kepada mereka yang bersolat supaya berselawat kepada Nabi Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam..

“ Allahumma solli ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘ala aali Sayyidina Muhammad. Kama Sollayta ‘ala Sayyidina Ibrahim wa ‘ala aali Sayyidina Ibrahim……….………”

Oleh itu, sebagai umat Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam, jangan lupa pengorbanan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam dan para Rasul ‘Alaihimussolatuwasallam yang lain dalam setiap kehidupan termasuk ketika berada di bulan yang di syariatkan haji ini.

Wallahua’alam.