Ahad, 7 Disember 2008

Hari Arafah- 9 Zulhijjah

HARI–HARI BERSEJARAH DALAM KALENDAR UMAT ISLAM

Umat Islam berada di bulan yang penuh barakah. Bulan Zulhijjah. Antara masa yang ditetapkan oleh Allah untuk hambaNya yang terpilih menjadi tetamunya pada hari yang agung menuju ke tempat yang suci dengan tujuan mengabdikan diri kepadaNya semata-mata. Haji merupakan antara rukun Islam yang paling besar yang terhimpun padanya ibadah-ibadah. Di sana , di tempat yang tersangat mulia, di al-Makkah al-Mukarramah para jemaah berlumba-lumba mengejar kebaikan, kerahmatan, keberkatan yang dijanjikan oleh Allah. Tasbih, takbir, tahmid, tahlil meniti di bibir-bibir mereka. Hati dan lisan dihadapkan kepada Allah sebagai gambaran kegembiraan dan kesyukuran yang tinggi kerana terpilih menjadi tetamuNya.

Ketahuilah wahai sekalian umat Islam!!! Hari-hari itu adalah hari-hari yang penuh bermakna. Hari dibukanya pintu langit, dilimpahkan kerahmatan, dan dibukanya pintu penerimaan yang seluas-luasnya oleh Allah untuk hambaNya. Tidak ada hari yang lebih banyak rahmat dan berkat, lebih terang cahayanya serta lebih luas penerimaan dari Allah selain dari hari itu. Tidak ada waktu syaitan menjadi terlebih keji, terlampau hina, tersangat kecewa dari hari-hari tersebut kerana kurniaan yang sangat agung dari Allah Taala terhadap hambaNya. Hari yang menjadi titik pembeza kepada umat ini. Hari yang mencorakkan segala perjalanan sirah Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam dan umatNya. Hari yang dimaksudkan itu adalah hari yang penuh dengan keistimewaan; Hari Arafah; Hari Hijrahnya Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam dari Makkah ke Bumi Madinah; Hari Kebangkitan Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam dan Hari Kelahiran Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Hari yang sangat suci dalam perjalanan masa yang ditentukan oleh Allah.


Hari kelahiran Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam; kerana padanya dilahirkan zat Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam dengan rahmat dan cahaya yang menerangi sekalian alam. Kelahirannya menjadi noktah yang membezakan antara cahaya dan petunjuk, antara yang benar dengan yang salah. Manusia dikeluarkan dari era kejahilan menuju era kejayaan yang dipandu oleh ketamadunan Islam. Berpindahnya ‘Qiadah Basyariah’ dari Bani Israil kepada umat Muhammad Sollallahu’alaihiwasallam; memikul tanggungjawab untuk menyebarkan cahaya agama Allah ke sekalian alam.. Hari yang menghubungkan antara langit dan bumi. Masing-masing bergembira. Ketika inilah manusia mula dihubungkan kepada Tuhan, cahaya hidayah diperbaharui dan lahirnya penutup bagi sekalian Rasul ‘Alaihimussolatuwassalam. Rasul yang membawa bersamanya rahmat. Melaluinya seluruh umat mendapatkan syafaat. Tidak lupa, selawat dan salam untuk junjungan kita Nabi Muhammad Sollallahu’alaihi wa aalihi wa sallam.

Berlalunya masa. Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam membesar di bawah tarbiyyah Ilahi. Segala gerak geri Baginda Sollallahu’alaihiwasallam berada di bawah jagaan Allah Taala. Segala kehidupannya dicorakkan olehNya. Begitulah peribadi Insan yang agung. “Tuhanku mendidikku dengan adab yang mulia, dan adabku adalah adab yang terbaik”. Pengakuan yang terbit dari lisan hambaNya yang benar dan dibenarkan. Akal, nafsu, hati dan ruh Baginda Sollallahu’alaihiwasallam disempurnakan melalui didikan ar-Rahman. Apabila lengkap semua persiapan, tibalah Hari Baginda Sollallahu’alaihiwasallam dibangkitkan sebagai Pesuruh Allah dan Penutup Sekalian Rasul. Datangnya wahyu yang agung melalui Ruhul Amin, Jibril ‘Alaihissalam. Fasa kedua yang menjadi penyuluh kepada penyebaran cahaya Allah ke sekalian alam. Dibina padanya asas yang teguh dan kukuh. Tiada sesiapapun yang mampu meruntuhkannya. Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam sebagai pembawa berita gembira, pemberi peringatan dan penyeru ke arah kebenaran.

“ Dan tidaklah diutuskan Engkau Wahai Muhammad melainkan sebagai pembawa rahmat untuk sekalian alam”

Dakwah Islam bermula secara sembunyi. Kemudian turunnya wahyu memerintahkan supaya dakwah dijalankan secara terang-terangan. Bermulanya era dakwah di kota Mekah tempat kelahiran Baginda Sollallahu’alaihiwasallam dengan penuh mencabar. Tekanan dan penyeksaan kepada umat Islam diberikan oleh kaum Quraisy yang membenci ajaran yang dibawa oleh Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Lalu Allah Taala memerintahkan pesuruhNya Sollallahu’alaihiwasallam supaya memulakan era baru dalam siri perjalanan dakwah menyebarkan dan mengukuhkan agama Islam. Bermulanya era penghijrahan Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam dari Mekah ke Madinah. Siri ketiga yang merupakan suatu pedoman Ilahi dalam siri pembinaan masyarat Islam yang penuh tamadun meninggalkan jahiliyyah yang ketinggalan dan penuh penindasan. Berbeza tempat dan berbeza cara penerimaannya. Dari tentangan dan tekanan dari musuh yang membenci kepada bantuan dan pertolongan para pembantu agama Allah yang sangat mencintai. Terbinalah masyarakat Islam yang pertama di bawah panduan dari Rasul yang mendapat didikan terus dari Allah Taala. Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam meninggalkan asas-asas penting untuk umatnya bagi membentuk diri, keluarga dan masyarakat yang diredhai Allah. Hampir sempurnalah agama yang dibawa oleh Baginda Sollallahu’alaihiwasallam.

Tibalah masa yang ditetapkan oleh Allah Taala bagi menyempurnakan risalah yang dibawa oleh PesuruhNya Sollallahu’alaihiwasallam. Hari Arafah. Hari ketika berhimpunnya ratusan ribu umat Islam yang sama-sama menunaikan haji bersama Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam. Umat Islam berhimpun mendengar amanat terakhir yang disampaikan oleh Rasulullah Solallahu’alaihiwasallam. Hari yang diselangi antara kegembiraan dari sebahagian sahabat dan kesedihan dari sahabat yang sangat memahami maksud wasiat terakhir yang disampaikan oleh Baginda Solallahu’alaihiwasallam. Hari itulah lengkapnya risalah yang dibawa oleh Baginda Sollallahu’alaihiwasallam, sempurnalah agama Islam dan Allah Taala meredhai Islam sebagai agama yang akan mencorakkan segala kehidupan umat manusia.

“ Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku menyempurnakan nikmatKu dan aku meredhai Islam sebagai cara hidup”

Tiada ulasan: