Jumaat, 9 Januari 2009

PRK 036 Kuala Terengganu: Lakukan Perubahan Dengan Semangat Hijrah

Bukan semua yang disangka berlaku akan berlaku dan bukan semua yang tidak disangka berlaku tidak akan berlaku. Tidak ada sesuatu yang mustahil bagi Allah untuk mengizinkan perkara yang mustahil pada pandangan manusia untuk berlaku. Cukup dengan Dia mengatakan jadilah, maka sesuatu perkara akan terjadi.

Kita sering mendengar dari mulut sahabat-sahabat kita keinginan untuk berubah, tetapi mereka seolah-olah tidak punya kekuatan untuk melakukannya. Terkadang kerana dihalang oleh sifat malu kepada kawan-kawan. Kadang-kadang terhalang oleh sifat sombong dalam diri serta sikap tidak mahu mengalah dengan kebenaran.

Perubahan yang cuba dibincangkan di sini adalah perubahan ke arah kebaikan, bukannya ke arah keburukan. Manusia yang bersih hati sentiasa mengharapkan orang-orang yang berada di sekelilingnya berubah ke arah yang lebih baik. Umat Islam yang suci hatinya sentiasa ingin berkongsi kebaikan dengan orang lain serta mengharapkan mereka sama-sama memperoleh hidayah dan rahmat dari Allah.




“ Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah dari melakukannya”

Mustahilkah untuk seseorang itu berubah? Itulah persoalan yang cuba dilontarkan dalam perbincangan kali ini.

Suatu peristiwa yang hampir mustahil berlaku. Pengislaman musuh yang selama ini menentang Islam, akhirnya menjadi salah seorang yang paling rapat dengan Allah, bahkan dijamin syurga oleh Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Amirul Mu’minin, Saidina Umar bin al-Khattab Radiallahu’anhu. Tiada yang menyangka. Hanya kerana terdengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran dari surah Thaha, terus memeluk agama Islam. Hidayah Allah tidak mengenal sesiapa.

Percayakah, kita mampu untuk berubah sekiranya kita berusaha ke arah itu?

Allah Taala menceritakan kisah Nabi Musa ‘Alaihissalam dengan Firaun dalam al-Quran ketika mana Baginda ‘Alaihissalam terpaksa berdepan dengan tukang-tukang sihir Firaun. Suatu perkara yang mustahil difikirkan berlaku dibuktikan oleh Allah berlaku. Islamnya tukang sihir Firaun selepas melihat mukjizat Nabi Musa ‘Alaihissalam. Allah Taala menyebut dalam al-Quran:

“ Dan Kami wahyukan kepada Musa, lemparkanlah tongkatmu. Maka seketika itu tongkat itu menelan apa yang mereka sihirkan. Maka mereka kalah dan menjadi hina. Dan ahli-ahli sihir itu serta-merta sujud (kepada Allah). Mereka berkata: Kami beriman kepada Allah Tuhan semesta alam. (Iaitu) Tuhan Musa dan Harun”

(al-Aa’raaf: 117-122)

Bahkan apa yang lebih menarik, iman mereka sangat teguh sehinggakan mereka tidak tunduk dengan tekanan dan ugutan dari Firaun. Mereka menjadi manusia yang paling kuat bertawakkal dan bergantung kepada Allah selepas itu. Firman Allah Taala:

“ Firaun berkata: Apakah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya perbuatan ini adalah satu muslihat yang telah kamu rancangkan di dalam kota ini, untuk mengeluarkan penduduknya daripadanya, kelak kamu akan mengetahui. Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kakimu dengan bersilang secara bertimbal balik, kemudian bersungguh-sungguh aku akan menyalib kamu semuanya”

(al-Aa’raaf: 123-124)

Lalu ahli sihir itu menjawab:

“ Ahli-ahli sihir itu berkata: Sesungguhnya kepada Tuhanlah kami akan kembali. Dan kamu tidak menyalahkan kami melainkan kerana kami telah beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami ketika ia datang kepada kami. Mereka berdoa: Wahai Tuhan kami, kuatkanlah kesabaran kepada kami dan wafatkanlah kami dalam keadaan berserah diri (muslimin)

(al-Aa’raaf: 125-126)

Begitulah kisah yang diceritakan dalam al-Quran tentang perubahan yang berlaku pada ahli sihir Firaun setelah melihat kebenaran yang di bawa oleh Nabi Musa ‘Alaihissalam.

Sempena berada dalam musim pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu, persoalan yang cuba dilontarkan kepada semua, sukarkah untuk kita berhijrah meninggalkan kumpulan yang jelas tidak menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai panduan? Tidakkah mata yang dikurniakan oleh Allah Taala telah melihat siapa di pihak yang benar, siapa di pihak yang salah? Tidakkah hati kita tidak mampu merasakan keikhlasan perjuangan PAS yang dipimpin oleh ulama’-ulama’ yang istiqamah untuk mengembalikan Islam berdaulat dalam negara?

Jadi, tunggu apa lagi? Khas untuk para pengundi PRK 036 Kuala Terengganu, undilah calon PAS dalam pilihanraya nanti dan akan datang. Untuk sahabat-sahabat dalam UMNO, buangkan perasaan sombong dalam diri, tinggalkan perjuangan palsu UMNO, Jom Pakat Sertai PAS….

“Sesungguhnya Allah Taala tidak mengubah sesuatu yang ada pada satu kaum sehinggalah dia mengubah apa yang ada pada dirinya sendiri…”

Bersama Menghayati Semangat Hijrah;

Jom Sertai & Undi PAS

Tiada ulasan: