Isnin, 15 September 2008

Bic@r@ pREsiDeN

Penahanan Raja Petra, Teresa dan Tan memburukkan lagi rekod kerajaan

PAS memandang serius beberapa siri tangkapan di bawah akta zalim ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang dilakukan oleh pihak polis sepanjang hari semalam.









Dalam suasana negara baru sahaja meraikan ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 51, PAS merasakan sepatutny pihak kerajaan sudah mula bergerak ke arah melupuskan sama-sekali akta zalim warisan penjajah ini.

Penahanan penulis dan pengkritik masyarakat Raja Petra Raja Kamarudin di bawah ISA hanya akan memburukkan lagi rekod kepimpinan kerajaan yang sedia ada.

PAS merasakan sekiranya Raja Petra didapati telah melanggar mana-mana peraturan atau undang-undang maka tindakan yang sewajarnya terhadap beliau adalah mendakwanya di mahkamah yang terbuka bagi mana-mana kesalahan yang dilakukannya dan tidak dengan menggunakan ISA.

Dalam waktu yang sama PAS turut mengutuk mana-mana pihak samada dari kerajaan atau pembangkang yang mengambil kesempatan mengapi-apikan isu perkauman dan keagamaan sehingga mencetuskan keresahan dan pecah-belah di kalangan masyarakat.

Mereka ini seharusnya diambil tindakan berdasarkan mana-mana peraturan dan undang-undang yang ada dan diberikan peluang membela diri di mahkamah.

PAS menyeru semua pihak agar bertenang dan tidak mencetuskan kekeruhan dikalangan masyarakat. PAS turut ingin menasihatkan pihak polis dan kerajaan agar memastikan yang kestabilan negara dan keharmonian masyarakat terus kekal dalam negara kita yang tercinta ini.

PAS turut merakamkan simpati kepada keluarga Raja Putra, wartawan Sin Chew Daily News Cik Tan Hoon Cheng dan ahli Parlimen Seputeh/ ahli EXCO Selangor YB Teresa Kok, semoga mereka dan ahli keluarga diberikan kesabaran dalam menghadapi situasi yang mencabar ini./wann

Presiden PAS
Dato� Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
(13 September 2008)_

Tiada ulasan: