Isnin, 28 Julai 2008

"JANGAN KAMU MENZALIMI DIRI KAMU SENDIRI DALAM BULAN-BULAN ITU……"

Malas rasanya untuk menulis dalam ruangan Soutud Dakwah kali ini. Jari-jemari seolah-olah tidak mahu memberi kerjasama yang baik dengan idea yang sedang bermain dalam fikiran untuk menaip setiap patah perkataan sebelum menjadi ayat-ayat lengkap sebagai tatapan para pembaca. Umpama anak dara yang malu-malu kucing lantas menundukkan kepala apabila wajahnya ditatap oleh insan yang berlainan jantinanya. Mungkin kerana sejak kebelakangan ini, isu tulisan-tulisan ‘pedas’ antara yang menjadi topik perbualan hangat di ‘kedai-kedai kopi’ sekitar sini.

Sesuatu tulisan memang begitu. Boleh timbulkan pelbagai reaksi; senyum, menangis; gembira, sedih; marah, kecewa dan bermacam-macam reaksi yang lain. Kadang-kadang satu tulisan yang sama mampu timbulkan dua reaksi berbeza dari pembaca yang berbeza. Ada pro dan kontranya. Kadang-kadang satu tulisan yang sama mampu timbulkan pelbagai reaksi yang berbeza dari pembaca yang sama. Alangkah indahnya sekiranya dengan tulisan yang dihasilkan mampu mengubati kembali luka-luka di hati akibat tusukan pena yang terlalu tajam tanpa mengenal lawan mahupun kawan. Apatah lagi ketika kita semua sedang menghadapi Rejab yang dilimpahi keberkatan, menantikan kehadiran Syaa'ban yang dipenuhi kerahmatan sambil menyiapkan diri untuk menghadapi Ramadhan yang sentiasa dirindui kehadirannya.

“ Ya Allah, berkatilah kami sepanjang Rejab dan Sya’ban, dan panjangkan umur kami untuk merasai nikmat mengabdikan diri kepadaMu di bulan Ramadhan

Setiap manusia tidak terlepas dari dosa dan kesilapan kecuali hambaNya yang dipilih dalam kalangan Para Rasul dan Para Malaikat 'Alaihimussolatuwassalam. Kesilapan itu mungkin dilakukan melalui i'tikad/kepercayaan yang salah, perbuatan, perkataan bahkan melalui tulisan seperti ini. Allah Taala dengan sifat Rahman serta RahimNya sudi menerima taubat hambaNya yang memenuhi syarat-syarat dalam bertaubat. Manusia yang menyedari kelemahan diriNya akan sentiasa tunduk memohon keampunan kepada Allah Taala. Sekiranya Rasul Sollallahu'alaihiwasallam yang ma'sum sentiasa melazimi istighfar kepadaNya, bagaimana pula dengan kita yang sentiasa tidak terlepas dari dosa dan kesilapan kepada Allah Taala? Sabda Nabi Sollallahu'alaihiwasallam;

" Setiap anak Adam mesti melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang membuat salah itu ialah orang yang bertaubat"

Firman Allah Taala;

" Dan bertaubatlah kamu semua wahai orang-orang yang beriman, mudah-mudahan kamu mendapat kerahmatan"

Allah Taala yang bersifat Maha Pengampun lagi Maha Penyayang menawarkan kepada mana-mana hambaNya untuk diberi keampunan kepada mereka. Bahkan diriwayatkan dari Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam bahawa Allah Taala turun ke langit dunia pada waktu sepertiga malam untuk mendengar munajat hambaNya yang benar-benar ikhlas memohon keampunan serta menunaikan permintaan hambaNya yang beriman.

Perhatikan rangkaian ayat-ayat suci al-Quran, ketika Allah Taala menyebut mengenai istighfar dan taubat, apakah intipati yang mampu diambil dari susunan-susunan kata dari Kalam yang Mulia ini? Allah Taala menjadikan keimanan sebagai syarat terpenting penerimaan taubat dari hambaNya. Tanpa iman, setiap amalan kebaikan yang dilakukan, begitulah taubat kepadaNya diumpamakan sebagai debu yang berterbangan. Firman Allah Taala;

" Orang-orang yang mengucapkan doa; wahai Tuhan sesungguhnya kami beriman, maka ampunkan dosa kami dan jauhkanlah kami dari azab api neraka"

" Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar seruan keimanan; berimanlah kamu kepada Tuhanmu! Lalu kami beriman. Wahai Tuhan kami, oleh sebab itu, ampunilah dosa kami dan hapuskanlah kesalahan kami serta wafatkan kami dalam kalangan orang-orang yang membuat kebaikan"

" Sesungguhnya Allah Taala tidak akan mengampunkan dosa orang yang syirik kepadaNya dan Dia mengampunkan dosa selain dari yang demikian itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya. Barangsiapa yag syirik kepada Allah sesungguhnya dia telah sesat dengan sesesat-sesatnya"

Para ulama' membincangkan; adakah taubat cukup sekadar dengan mengakui keimanan dengan lisan tanpa ketaatan kepadaNya atau keimanan tersebut mesti diikat dengan ketaatan kepada Allah? Ramai yang beranggapan bahawa kita tidak perlu takut untuk melakukan kesilapan kerana umat Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam adalah umat yang dirahmati serta dinaungi keampunan dari Allah Taala. Anggapan yang silap sama sekali!!! Ketahuilah wahai saudaraku, sesungguhnya tidak ada makna mengharap keampunan dari Allah dalam keadaan hati kosong dari 'ubudiyyah kepada Allah. Bagaimana seorang yang tidak pernah terdetik untuk melakukan amal kebaikan dan ketaatan mampu mengharapkan keampunan dari Allah Taala? Khawatim al-Baqarah menjadi jawapan kepada persoalan ini. Firman Allah Taala;

" Rasul itu beriman dengan apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, begitu pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, dan utusan-utusanNya. Kami tidak membezakan di antara utusan-utusan itu. Dan mereka mengatakan: Kami dengar dan kami taat. Ampunilah kami wahai Tuhan kami dan kepadaMu tempat kembali "

Mesti ramai yang bertanya; apakah kaitan Rejab dengan istighfar, memohon keampunan kepada Allah secara khusus? Allah Taala mengaitkan mengenai bulan Rejab dan 3 'ash-hurul hurum' yang lain dengan kesilapan yang dilakukan manusia ke atas dirinya sendirinya melalui firmanNya dalam ayat ke-36 surah at-Taubah. Firman Allah Taala;

" Sesungguhnya jumlah bulan pada sisi Allah Taala ialah dua belas bulan dalam ketetapan Allah sejak hari Dia mencipta langit dan bumi. Antaranya empat bulan yang suci. Itulah agamamu yang betul. Janganlah kamu menzalimi diri kamu sendiri dalam waktu itu…."

Ruangan Suara Dakwah kali ini sengaja untuk tidak memanjangkan perbincangan mengenai ayat ini. Rajin-rajinkanlah merujuk huraian para ulama'. Dengarlah huraian para 'masyayeikh' kita mengenainya. Cubalah untuk membelek kitab-kitab tulisan ulama'-ulama' terdahulu serta ulama'-ulama' 'mutaakhirin' yang menyentuh secara khusus isu-isu yang berkaitan dengannya. Ada masa, cubalah untuk meneliti ayat ke-237 dari surah al-Baqarah. Semoga kita mampu mendapat mutiara berharga darinya sebagai bekalan untuk menghadapi hidup hari ini yang dipenuhi dengan pelbagai fitnah. Al-Quran sebagai panduan, Hadis sebagai rujukan.

BIRO DAKWAH KPT 07/08

Khamis, 17 Julai 2008

Jepun mahu dapat penjelasan penangkapan Anwar

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Hrkh) - Agensi berita AFP melaporkan kenyataan Menteri Luar Jepun, Masahiko Komura yang mahu mendapatkan penerangan berhubung penangkapan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Masahiko dijadual menghadiri mesyuarat menteri luar negara anggota ASEAN di Singapura, minggu depan.

Dalam satu kenyataan yang dipetik AFP di Tokyo, ketua jurucakap Kementerian Luar Jepun, Nobutaka Machimura berkata, Jepun berharap menggunakan kesempatan mesyuarat itu untuk mendapat maklumat situasi yang berlaku sebelum membuat sebarang reaksi.

Anwar dibebaskan dengan jaminan polis pagi tadi setelah ditangkap sepasukan anggota polis bertopeng di hadapan rumahnya petang semalam; kurang sejam sebelum tempoh beliau menyerah diri untuk disiasat polis tamat.

Bukit Aman memberi tempoh sehingga jam 2.00 petang semalam untuk Anwar memberikan keterangan secara sukarela di Bahagian Siasatan Jenayah, IPK Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Anwar ditahan polis dalam perjalanan balik ke kediamannya di Segambut Dalam selepas memberi keterangan kepada BPR di Putrajaya.

Anwar menafikan tuduhan liwat yang dilemparkan terhadapnya dan menganggap tuduhan terbaru itu sebagai konspirasi kedua (selepas 1998) untuk menghalang rancangannya mengambil alih pentadbiran Putrajaya.

Jepun melihat rantau Asia Tenggara sebagai penting dan memeterai perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia Julai tahun lalu.

Sementara itu, Amerika Syarikat pada Rabu, lapor AFP menyatakan keprihatinan serius terhadap insiden penangkapan Anwar.- tajdid _

Rabu, 16 Julai 2008

"Anwar Ibrahim DiTahan Polis Bertopeng !!!



Polis menahan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar rumahnya di Segambut Dalam dan dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur tengahari ini.
Beliau ditahan sekumpulan anggota polis, termasuk yang bertopeng dan berjaket - dipercayai Bahagian Jenayah Berat, kira-kira sejurus tiba dari Putrajaya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya.
Menurut peguam R Sivarasa, pihak polis telah menunggu kepulangan Anwar dan sebaik sahaja tiba, mereka membawa mantan timbalan perdana menteri itu, ke dalam kereta polis bercermin gelap dan membawanya ke IPK Kuala Lumpur.
Anwar tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi 15 kenderaan.
Manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kepada pemberita di Parlimen bahawa Anwar telah ditahan.
Katanya, beliau menerima panggilan telefon dari Anwar yang mengesahkan bahawa beliau telah ditahan.
Anwar juga, katanya, memberitahu bahawa beliau dilayan secara kasar oleh anggota polis yang menahannya itu.
Wan Azizah berkata, Anwar memintanya pulang ke rumah untuk menenangkan anak-anaknya dan kemudiannya pergi ke pejabat polis terbabit.
Naib presiden PKR, Azmin Ali tiba kira-kira jam 1.26 tengahari, dan menyifatkan tindakan polis itu sebagai "tidak bertamadun" kerana Anwar telah mengesahkan akan datang.
Lagi pula, tambahnya, masa yang diberikan oleh polis sehingga jam 2 petang juga belum lagi tamat.
Beliau juga menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar kerana Anwar dikeluarkan dari keretanya di tepi jalan utama.
Kira-kira 200 penyokong Anwar termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kini berhimpun di IPK Kuala Lumpur.
Mereka termasuk Yusmadi Yusof, Zuraidi Kamaruddin, Dr Zulkifly Ahmad, Dr Hatta Ramli, Tian Chua serta Karpal Singh.
Wan Azizah pula tiba dengan anak perempuannya, Nurul Nuha pada jam 1.30 hari.
Difahamkan Anwar akan didakwa mengikut Seksyen 377C, Kanun Keseksaan. Dalam pindaan terbaru, peruntukan ini berbunyi seperti berikut: Di bawah seksyen ini, seseorang melakukan kesalahan jika dia membuat hubungan seks dengan orang lain dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam faraj atau dubur orang yang satu lagi itu.
Jika sabit kesalahan, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.

sumber:-.tranungkite.net

Rabu, 9 Julai 2008

BICARA PRESIDEN

Pertahan akhlak Islam hadapi saat serba mencabar

Berhubung dengan pelbagai fitnah yang tersebar dengan meluas dalam negara kita kebelakangan ini, bagi pihak PAS, saya suka menyeru agar semua kita kembali berpaut kepada ajaran Islam yang sebenar.

Kita menegaskan bahawa fitnah adalah lebih merbahaya daripada membunuh, oleh kerana itu kita tidak boleh menyebarkan sebarang fitnah sewenang-wenangnya. Sesungguhnya Islam meletakkan garis panduan dalam semua perkara tapi malangnya kita sendiri memilih untuk menjauhkan diripada ajaran Islam.

Islam dengan jelas mengajar dan menetapkan hukuman yang berkait dengan memfitnah termasuk fitnah zina dan liwat.

Seseorang tidak boleh menuduh seseorang yang lain dengan dosa itu melainkan mengemukakan empat orang saksi.

Sekiranya tidak ada empat orang saksi, maka orang yang menuduh hendaklah dijatuhkan hukuman hudud dan menjadi fasik, dan beliau tidak boleh menjadi saksi lagi.

Di dalam Islam seorang yang dituduh tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan kesalahnnya ataupun orang itu mengaku sendiri dengan rela diri tanpa paksaan yang ia telah melakukan kesalahan tersebut.

Kita mengharapkan masyarakat Islam supaya memelihara akhlak yang diajar oleh Islam ini dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak. Apa yang mendukacitakan gejala ini berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin Melayu yang mengaku beragama Islam.

Oleh itu saya menyeru supaya sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sedemikian rupa hendaklah bertaubat kepada Allah SWT kerana dosa itu termasuk dalam kategori dosa besar yang diberi amaran keras oleh Allah SWT di dalam al Quran dan oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. dan diperingatkan oleh para ulamak di sepanjang zaman.

Saya menyeru ahli-ahli PAS supaya kembali kepada pegangan kita yang termaktub dalam Perlembagaan PAS dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak di saat yang serba mencabar dan meruncing ini.

4 Julai, 2008

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS) _

http://www.harakahdaily.net/




Jumaat, 4 Julai 2008

Mari berhimpun beramai-ramai di Kelana Jaya, Ahad ini - Pakatan Rakyat

Anis Nazri

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Hrkh) - "Pakatan Rakyat berpandangan rakyat perlu diberikan ruang untuk mengeluarkan pendapat dan berkumpul bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan kerajaan menaikkan harga minyak dengan begitu drastik tanpa alasan kukuh," kata pemimpin Pakatan Rakyat Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Rakyat juga diseru agar menyertai perhimpunan aman pada hari 6 Julai ini dan dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan provokasi pihak luar.

Pakatan Rakyat juga memaklumkan bahawa perubahan lokasi perhimpunan bantah kenaikan harga minyak dilakukan atas nasihat pimpinan Pakatan Rakyat, yang diputuskan selepas mesyuarat di rumah Anwar Ibrahim, semalam.

Menurut kenyataan bersama Setiausaha Agung parti komponen Pakatan Rakyat, pertukaran lokasi tersebut dilihat berdasarkan perkembangan suasana politik semasa.

Kenyataan media itu ditandatangani Anwar, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar; dan Setiausaha Agung KeADILan, Datuk Salehudin Hashim.

Sementara itu, jurucakap Protes, Moon Hoi, ketika dihubungi mengesahkan pertukaran tersebut, bagaimanapun pengisian program tersebut tidak berubah.

Pelbagai program akan diadakan, termasuk solat hajat perdana selepas Isyak yang dijangka akan diimamkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Seri Nik Abd Aziz Nik Mat.

Difahamkan, selain Anwar, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah mengesahkan untuk turut serta dalam perhimpunan itu. - mr_

100% sumber ->HarakahDaily.net

Akuan Bersumpah dakwa Najib-Altantuya ada hubungan


Azamin Amin
Thu | Jul 03, 08 | 4:23:47 pm MYT

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Hrkh) - Penyiasat persendirian Abdul Razak Baginda, Balasubramaniam Perumal telah membuat pendedahan mengejutkan melalui satu surat akuan bersumpah berkaitan hubungan di antara Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib dan Altantuya Sharibuu.

Surat Akuan bersumpah yang dibuat pada 1 Julai lalu di hadapan Pesuruhjaya Sumpah di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur itu turut menyatakan secara terperinci perbincangan di antara Bala dengan Razak tentang Altantuya dan hubungannya dengan Najib sebelum terjadinya pembunuhan pada malam itu.

Pendedahan itu dibuat dalam sidang media bersama Dato' Seri Anwar Ibrahim, di ibu pejabat KeADILan, Petaling Jaya tengah hari ini tadi dan hadir sama dalam sidang media itu pemimpin KeADILan, Tian Chua, Sivarasah, Saifuddin Nasition, Azmin Ali serta kelihatan bersama-sama pihak media ialah Raja Petra Kamaruddin.

Dakwaan-dakwaan tersebut terkandung dalam akaun berkanun yang dicetak dalam bahasa Inggeris setebal 16 halaman itu turut diedarkan kepada wartawan dalam dan luar negara.

Antara dakwaan Bala dalam surat akuan itu ialah, Razak telah memaklumkan kepadanya bahawa Najib telah memperkenalkan Altantuya yang dikenali sebagai 'Aminah' kepada Razak di Pameran Berlian di Singapura.

Selain itu Najib didakwa telah memberitahu Razak bahawa beliau telah melakukan hubungan seks dengan Altantuya dan memberitahu Bala bahawa ketiga-tiga mereka, Najib, Razak dan Altantuya telah bersama-sama menghadiri makan malam di Paris.

Dalam surat akuan itu juga, Altantuya juga dikatakan telah meminta wang sebanyak 500,000.00 dollar Amreika sebagai komisen terhadap perjanjian Kapal Selam di Paris.

Bala yang berpangalaman sebagai anggota polis semenjak tahun 1981 telah ditahan polis di awal siasatan kes berprofil tinggi itu dan mendakwa keterangannya mengenai Najib telah tidak dimasukkan dalam kenyataan beramarannya.

Tujuan akuan bersumpah itu dibuat adalah kerana beliau kecewa dan tidak berpuas hati dengan tahap penyiasatan yang dikendalikan oleh pihak berkuasa dalam berkaitan pembunuhannya itu dan butiran-butiran termasuk hubungan Najib-Altantuya yang disebut adalam akuan terbabit tidak pernah dibangkitkan dalam perbicaraan kes tersebut, kata Bala.

"Kenapa saya di tahan di dalam lokap pada awalnya selama tujuh hari sedang sepatutnya mereka hanya perlu mengambil kenyataannya saya sahaja malah saya di dakwa atas seksyen penal code 302 ?" katanya yang turut ditemani oleh peguammnya.

Ketika di tanya sama ada beberapa dakwaan yang di sebut itu adalah benar, peguam beliau menjawab bahawa apa yang terkandung dalam akuan bersumpah itu antaranya adalah percakapan atau maklumat yang disampaikan oleh Razak Baginda kepada Bala.

"Bala tidak boleh menentukan bahawa apa yang dikatakan oleh Razak itu benar atau sebaliknya. Perkara itu hanya boleh ditentukan di mahkamah," katanya.

Sementara itu Bala juga mendedahkan bahawa Najib telah memberitahu Abdul Razak bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan akan "menguruskan" kes bunuh yang membabitkan rakan rapatnya.

Beliau juga mendedahkan bahawa Abdul Razak telah menghantar SMS kepada Najib pada hari beliau ditahan berhubung siasatan pembunuhan Altantuya dan telah menerima jawapan daripada Najib yang menyatakan "beliau telah bercakap dengan ketua polis negara".

Balasubramaniam berkata, dalam jawapannya itu, Najib telah memberitahu Abdul Razak bahawa "perkara itu akan diuruskan oleh ketua polis negara".

Pegawai penyiasat itu juga mendedahkan bahawa beliau telah memberitahu semua itu kepada polis ketika mereka mengambil kenyataannya, tetapi terperanjat kerana semua bahagian yang membabitkan Najib, tidak dimasukkan dalam kenyataan tersebut.

Anwar dalam sidang media itu turut menyatakan bahawa terdapat arahan daripada pihak-pihak tertentu supaya pihak media tidak membangkitkan nama 'Najib' dalam pemberitaan mereka.

"Saya dapat tahu, media arus perdana di arahkan untuk tidak menyiarkan berita yang ada hubung kait dengan Najib," kata Anwar.

Anwar juga menyatakan bahawa Najib menganggap bahawa beliau dan Raja Petra sedang merancang untuk menjatuhkan karier politik beliau sedangkan perkara itu tidak berlaku malah ianya bukanlah satu serangan peribadi atau pembalasan dendam. _

sumber ->harakahDaily.net

Khamis, 3 Julai 2008

Pemuda akan boikot himpunan Protes jika terdapat unsur hiburan melampau

Artikel Oleh pemudawilayah

"
Promosi Himpunan Protes agak terjejas juga bila mana seluruh mata tertumpu pada kes liwat yang kononnya melibatkan Anwar Ibrahim. Pemimpin yang menjadi bualan ramai ini ternyata masih kuat pengaruhnya hinggakan media terlupa sebentar tentang Himpunan Protes pada 6 Jun ini.

Dalam mesyuarat teknikal Protes semalam, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad bertegas untuk menolak sebarang unsur-unsur muzik melampau yang bakal disajikan kepada mereka yang hadir dalam Himpunan Protes ahad nanti.


Walaubagaimana pun, beliau yang mewakili PAS dalam mesyuarat itu bersetuju jika bentuk pertunjukan seni ini memfokuskan kepada isu minyak dan muziknya tidak terlalu keras. Medium akustik menjadi keutamaan jika konsert itu ingin diteruskan.

Hishamuddin Rais yang menjadi pengarah persembahan telah berjanji untuk membatalkan pertunjukan beberapa kumpulan underground dan digantikan dengan kumpulan nasyid dan dikir barat. Beliau menjaminkan bahawa persembahan nanti akan tertumpu pada isu minyak dan juga kezaliman kerajaan.

Sedikit kejanggalan pasti terasa dalam himpunan kali ini yang mana ianya bukan lagi sekadar demontrasi. Tempatnya dikawasan Padang Timur nanti adalah begitu besar dan khalayak juga turut disediakan dengan beberapa kemudahan seperti pentas ceramah & konsert yang besar, tempat solat, tandas bergerak dan juga gerai-gerai jualan untuk makanan dan bahan kempen.

Bisik-bisik diluar juga mula kedengaran. “ini bukan lagi demo….dah jadi karnival rakyat”

Walaubagaimana pun, pemudawilayah bersetuju dengan pimpinan PAS yang lain untuk mencuba pendekatan baru ini bagi meransang orang ramai hadir ke himpunan ini. Mereka yang khuatir dengan gangguan Polis sebagaimana yang berlaku semasa himpunan BERSIH dahulu kini boleh menarif nafas lega kerana perkara itu mungkin tidak akan terjadi.

Pihak Polis Selangor juga telah bersetuju untuk membenarkan program ahad ini.

Suatu lagi perkara yang agak luar biasa, Himpunan kali ini akan berlangsung hingga lewat malam dan pelbagai acara di atur termasuklah ucapan pimpinan PAKATAN, NGO, persembahan muzik suara rakyat, tarian singa naik minyak, gendang rakyat dan sebagainya.

Pemudawilayah hanya memfokuskan kepada himpunan dan sesi ucapan pimpinan. Pemudawilayah juga bersetuju mengambil tanggungjawab bersama pemuda PAS yang lain untuk mengawal pimpinan dan menguruskan kehadiran mereka. Antara pimpinan yang setuju hadir adalah Presiden PAS, Tuan Guru Hj. Abd Hadi Awang, Lim Kit Siang, Wan Azizah, Anwar dan kelima-lima Menteri Besar PAKATAN.

Pihak Unit Amal akan memantau urusan keselamatan secara umum. Oleh itu, untuk para peserta. Semua diminta untuk berikan kerjasama dan tidak menimbulkan provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan.

Secara keseluruhannya Pemuda PAS akan memastikan bahawa program kali ini akan berjalan pada lunas-lunas syariat yang dibenarkan. Sebarang unsur hiburan melampau akan diambil tindakan sama ada dalam bentuk menarik sokongan (boikot) atau dalam bentuk yang difikirkan sesuai bagi menjaga imej PAS keseluruhannya.

"
sumber->Tranungkite.net